Bandar Seri Begawan (31/10/2010) - Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah menandatangani satu perjanjian bersama Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) pada petang hari Khamis, 28 Oktober 2010 yang membolehkan BSP menempatkan Sistem Pemulihan Bencana (Disaster Recovery System) mereka di dalam Pusat Data, EGNC.
Penandatanganan yang berlangsung di Empire Hotel dan Country Club itu disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (IT dan e-Kerajaan), JPM, Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad yang juga selaku Overall Government CIO.
Menandatangani bagi pihak EGNC ialah Pengarahnya, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli sementara BSP pula ditandatangani oleh Pengurus Maklumat, Malai Haji Anwar bin Syed Haji Ahmad Hussein.
Sistem Pemulihan Bencana ini merupakan sebahagian daripada rancangan BSP dalam memastikan operasi mereka sentiasa berjalan dengan lancar dari setiap kejadian yang akan mengganggu atau bencana yang mungkin terjadi di masa depan.
Juga hadir menyaksikan penandatangan tersebut ialah pegawai-pegawai kanan dan kakitangan EGNC dan BSP.
EGNC adalah sebuah Jabatan di bawah JPM yang mana peranan utamanya ialah melaksanakan inisiatif-inisiatif e-Kerajaan dalam Rancangan Strategik e-Kerajaan 2009-2014.
Ianya tidak hanya berusaha untuk memodenisasikan dan meningkatkan Perkhidmatan Awam dengan memberikan perkhidmatan-perkhidmatan yang khusus pada orang awam, tetapi juga memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dengan membantu syarikat-syarikat untuk menjaga aset digital mereka daripada segala bencana atau krisis di masa depan.
-- Hak milik Pelita Brunei
Sunday, 31 October 2010
EGNC - BSP Tandatangani Perjanjian Penempatan Sistem Pemulihan Bencana
Posted by Neo Minda on 13:42


0 comments:
Post a Comment