Oleh : Rohani Hj. Abd. Hamid
Bandar Seri Begawan (30/10/2010) - Jurubahasa yang fasih bertutur dan dapat mengalih bahasa dengan terang, jelas dan tepat adalah keperluan utama kerana 'profession' berkenaan mempunyai fungsi yang sangat besar dalam matlamat mahkamah dan dapat melicinkan perjalanan perbicaraan.
Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Yang Arif Dato Paduka Awang Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid semasa berucap selaku tetamu kehormat di Majlis Penutup Kursus Jurubahasa menegaskan, Jabatan Kehakiman Negara menyedari akan kepentingan 'profession' tersebut dan melihat akan keperluan untuk memberikan kursus-kursus yang tertentu kepada jurubahasa di semua mahkamah bagi meningkatkan lagi prestasi mereka dan secara langsung dapat meningkatkan lagi kepercayaan orang ramai kepada institusi kehakiman dalam fungsinya sebagai pentadbiran keadilan.
"Apa yang saya ingin tekankan kepada para peserta di sini ialah Jurubahasa sebagai "Office of the Court" perlu mempunyai kesedaran bahawa bila saja bermulanya satu-satu kes perbicaraan, sebetulnya ada dua perkara yang berlaku.
"Pertama sekali ialah dalam aspek kes jenayah "the defendant is on trail" yang kedua dan dalam masa yang sama juga "the court is on trial". Dari erti kata yang lain orang ramai yang datang ke mahkamah yang memenuhi ruang-ruang galeri termasuk ahli-ahli media akan melihat perwatakan hakim, peguam dan jurubahasa, dan mereka akan mengukur sejauh mana pihak mahkamah akan dapat menjalankan tugas mereka dengan cekap, amanah, adil dan saksama. 'Almost always the court is on trial'," jelas Yang Arif Dato Paduka Awang Haji Hairol Arni di majlis yang berlangsung Dewan Serbaguna, Bangunan Mahkamah Syariah.
Di majlis ini tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada para peserta kursus dan pemudah cara.
Kursus jurubahasa ini telah dijalankan selama tiga hari berturut-turut mulai 27 hingga 29 Oktober yang dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Negara dan dihadiri oleh para jurubahasa dan penterjemah kedua-dua Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah yang mempunyai tugas dan tanggungjawab di dalam mengalih bahasa semasa perbicaraan dijalankan.
Kursus dikendalikan oleh dua orang pemudahcara jemputan dari Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Unit Penyelidikan dan Pembangunan Ahamad Hanir bin Hambaly dan Ketua Penolong Pengarah Program Pendakwaan, Dayang Siti Noor Alwani binti Hamid bagi mengendalikan kursus tersebut.
Dengan adanya kursus jurubahasa ini diharap akan dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan kefahaman para peserta mengenai cara-cara pengalihan bahasa dan penterjemahan yang betul, efektif dan berkesan.
-- Hak milik Pelita Brunei
Sunday, 31 October 2010
Mahkamah Perlu Jurubahasa Yang Fasih, Jelas Dan Tepat
Posted by Neo Minda on 13:43
0 comments:
Post a Comment