Oleh Nooratini Hj. Abas & Saerah Hj. Abd. Ghani
Bandar seri Begawan (24 Oktober) - Pasukan lelaki Vivi Norizan dan pasukan wanita Sri Kandi masing-masing menjuarai Kejohanan Bola Tampar Terbuka, Sempena Hari Polis Ke-89, yang berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah Polis Gadong.
Gosvo yang menjuarai bahagian lelaki tahun lalu menduduki naib juara dan tuan rumah Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di tempat ketiga manakala naib juara bahagian wanita disandang oleh pasukan Universal dan juara tahun lepas VB Girls di tempat ketiga.
Hadir menyampaikan hadiah-hadiah kejohanan tersebut bagi pasukan lelaki ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pendikar Alam DCP Dato Paduka Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu, sementara penyampaian hadiah bagi pasukan wanita disampaikan oleh Isteri Pemangku Pesuruhjaya Polis, Datin Dayang Hajah Kamariah binti Orang Kaya Indera Perkasa Shari.
Kejohanan yang bermula bulan Julai lepas itu juga telah menobatkan Yogi Supriadi dari pasukan Vivi Norizan sebagai pemain terbaik lelaki dan Rohadiatik dari pasukan Sri Kandi pemain terbaik wanita.
Sejumlah 14 buah pasukan lelaki dan wanita menyertai kejohanan anjuran PDB.
Pengerusi kejohanan S/Supt Awang Mohd. Zaini bin Haji Sanip dalam ucapannya berharap penyertaan para pasukan di tahun akan datang akan terus meningkat dengan memberikan komitmen dan sikap kesukanan yang positif.
Hadir menyampaikan hadiah-hadiah Kejohanan Bola Tampar Terbuka, Sempena Hari Polis Ke-89 bagi pasukan lelaki ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pendikar Alam DCP Dato Paduka Haji Hasrin. (Foto : Hj. Masmaleh Hj. Mohd. Ali)
PDB katanya amat berbangga kerana dapat mengungkayahkan kejohanan ini pada peringkat negara dan mendapat sambutan dari pasukan-pasukan yang telah ikut serta.
Di samping itu tambahnya, malam gala yang diadakan bertujuan untuk beramah mesra setelah pasukan-pasukan bertanding dan meraih tempat masing-masing di dalam kejohanan ini.
-- hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment