Sunday, 31 October 2010

Pelan Tindakan Baru Hubungan Asean-China Dialu-Alukan

Twitter Facebook More

Laporan : Dk. Hjh. Fatimah Pg. Hj. Md. Noor dari Ha noi, Viet Nam

Hanoi, Viet Nam (30/10/2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyatakan sokongan baginda untuk Pelan Tindakan baru bagi hubungan kerjasama ASEAN-China yang akan memandu hubungan kerjasama keduanya bagi lima tahun akan datang.


Dalam hubungan ini baginda berpuas hati dengan perkembangan positif dalam hubungan kerjasama ASEAN-China dan juga pencapaian-pencapaian yang tinggi yang telah dicapai.

Kebawah DYMM bertitah ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke 13 bersama Ketua-ketua Negara ASEAN dan Perdana Menteri China, Wen Jiabao yang diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan di sini.

Dalam sidang berkenaan, baginda serta pemimpin Negara-negara ASEAN dan China bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan kerjasama ASEAN-China.

Kebawah DYMM juga bertitah mengenai Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China yang mula dilaksanakan awal tahun ini dan usaha-usaha berterusan dalam membuat pembaikan kepada Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas tersebut. Begitu juga dengan usaha-usaha di bidang politik dan keselamatan, dengan Pelaksanaan Meknisma Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Campur (ASEAN Defence Ministers' Meeting Plus Mechanism) yang pertama, di mana juga dihadiri oleh China.

Menjelang Ulang Tahun Ke-20 hubungan ASEAN-China, baginda ingin melihat lebih banyak inisiatif-inisiatif yang berorientasikan penduduk, supaya ianya akan dapat memberikan lebih banyak peluang-peluang yang baik kepada penduduk di kedua rantau ini untuk berinteraksi di semua peringkat terutama sekali di kalangan penuntut dan belia.

Kebawah DYMM juga memberikan sokongan penuh mengenai cadangan untuk menjadikan tahun depan sebagai Tahun Persahabatan dan Pertukaran ASEAN-China (ASEAN-China Friendship and Exchange Year).

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sidang ini, , Perdana Menteri China, Wen Jiabao telah mengemukakan cadangan untuk mendorong kerjasama China-ASEAN dan telah menandatangani dokumen rancangan tindakan lima tahun kedua bagi kerjasama China-ASEAN.

Dalam Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-13 di Hanoi hari ini, China akan menambah peruntukan sebanyak AS17 juta kepada dana kerjasama rantau Asia.

Untuk melaksanakan rancangan tindakan lima tahun kedua China-ASEAN, Wen Jiabao mencadangkan agar negara-negara anggota mendorong hubungan ekonomi dan perdagangan China-ASEAN supaya berkembang secara berterusan, sihat dan pesat, dengan secepat mungkin menjalinkan jaringan kesalinghubungan, mendorong pembukaan dan penyatuan pasaran kewangan dan modal secara teratur, meningkatkan kerjasama ekonomi pertanian serantau, menambah peruntukan untuk pembangunan yang berterusan dan terus meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat pelbagai negara.

-- Hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment