Wednesday, 3 November 2010

26 Didenda Kerana Merokok Di Tempat Awam

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (02/11/2010) - Kementerian Kesihatan melalui Unit Penguatkuasaan, Bahagian Kawalan Tembakau telah mengeluarkan 26 denda kompaun ke atas orang yang didapati merokok di tempat-tempat awam sepanjang bulan Oktober lalu.


Denda-denda kompaun tersebut telah dikeluarkan dalam beberapa operasi Unit berkenaan yang dilakukan di pusat-pusat membeli belah, restoran dan kedai makan, bangunan-bangunan kerajaan serta gerai dan pasar di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan hari ini mengingatkan orang ramai bahawa sesiapa yang didapati merokok di tempat-tempat yang ditegah merokok di bawah Perintah Tembakau 2005 dan Peraturan-peraturannya 2007, boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $150 bagi kesalahan pertama, $300 bagi kesalahan kedua dan bagi kesalahan seterusnya, akan dihadapkan ke mahkamah dan didenda sehingga $1000 jika sabit kesalahan.

Antara kawasan awam yang ditegah merokok termasuklah kaki lima kedai, pusat membeli belah, pasar, gerai tamu, stesen bas, perhentian bas, restoran, kedai makan dan bangunan-bangunan kerajaan.

Kementerian Kesihatan akan sentiasa melakukan pemantauan di tempat-tempat yang ditegah merokok dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

-- Hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment