Tuesday, 16 November 2010

919 Ibu Tunggal Dan Anak Damit Terima Kurnia Peribadi Di Tutong

Twitter Facebook More

Tutong (08 November 2010) - Para ibu tunggal dan anak damit di Daerah Tutong juga tidak terlepas pandang untuk sama-sama menerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.


Berangkat selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyempurnakan kurnia peribadi tersebut di Majlis Penganugerahan yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, di sini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Keberangkatan Yang Teramat Mulia djunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Awang Haji Muhd. Taha bin Abdul Rauf dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu.

Di majlis ini seramai 919 orang ibu tunggal dan anak-anak damit telah menerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dengan 148 ibu tunggal dan 771 orang anak-anak damit.

Seperti di daerah-daerah lain ibu-ibu tunggal yang menerima kurnia tersebut juga terdiri dari mereka yang berdaftar di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Majlis Ugama Islam Brunei dan anak-anak damit yang lahir di antara 7 Oktober 2009 dan 7 Oktober 2010 yang berdaftar di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di seluruh negara.

Majlis pagi tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri adalah kurnia kewangan dalam bentuk akaun simpanan bank dengan tujuan untuk menerapkan budaya menabung kepada penerima kurnia berkenaan.

Pada keseluruhannya, seramai 1,241 orang ibu tunggal dan 6,435 orang anak-anak damit dicatatkan menerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri yang disampaikan secara serentak di keempat-empat daerah.

-- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Shari Hj. Garib)

0 comments:

Post a Comment