Tuesday, 16 November 2010

Aiskan Secara Keseluruhan Bagi Memastikan Kesegaran Ikan

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (09 November 2010) - Susulan dari taklimat yang diadakan oleh Jabatan Perikanan Brunei pada pagi tadi mengenai keselamatan dan kawalan kualiti makanan laut, satu demonstrasi pengendalian ikan dengan cara yang betul telah diadakan di Gerai Pasar Ikan, Gadong, di sini, petang tadi.


Demonstrasi tersebut telah menarik minat para peraih ikan dan pengguna, untuk mempelajari lebih mendalam tatacara pengendalian ikan dengan cara yang betul, bersih dan selamat untuk dijual dan pada masa yang sama dapat memuaskan hati para pelanggan yang hendak membeli ikan.

Tunjuk cara tersebut telah dibuat oleh Ketua Cawangan Kesihatan Awam, Biosekuriti Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia, Dr. Bah Piyan Tan.

Semasa pertemuan, beliau menjelaskan lebih lanjut mengenai tatacara pengendalian ikan yang betul dengan semudah-mudah cara iaitu dengan menggunakan ais.

Ais menurutnya, merupakan salah satu medium yang mudah diperolehi dengan harga yang murah dan mudah untuk digunakan dan dikendalikan oleh para peraih ikan, nelayan, penternak atau pengusaha ikan.

Ais yang hendak digunakan tambahnya, perlulah dikenal pasti tahap kebersihannya dan mendapat kelulusan dari pihak tertentu.

"Caranya dengan meletakan ais terlebih dahulu, kemudian diselang-selikan dengan ikan. Agar ikan-ikan tersebut dapat diaiskan secara keseluruhan dan memastikan kesegaran ikan tersebut sentiasa terjamin. Tujuannya ais dapat merencatkan pertumbuhan bakteria dan mengelakkan dari pencemaran terutama dari mikro-biologi (biology-micro) dan bakteria-bakteria lain," terangnya.

"Selain itu, dengan kaedah penggunaan Peti Ikan Berinsolasi. Kaedah ini dapat mengelakkan dari berlakunya pencemaran dan kontaminasi pada ikan, di samping dapat menjamin penggunaan ais yang tahan lama dan sentiasa mengekalkan kesegaran ikan-ikan tersebut. Tambahan lagi, peti tersebut mudah dibersihkan, senang dikendalikan dan tahan lama sebagai satu insolasi kepada ikan," jelasnya.

Beliau tidak menafikan dengan adanya teknologi yang canggih masa kini, akan menimbulkan 'culture-shock' kepada golongan para peraih, nelayan, penternak, pengusaha dan malahan para pengguna, dalam penukaran kaedah pengendalian ikan cara lama ke cara baru.

Namun beliau percaya dengan kebijaksanaan dan pengetahuan tinggi yang dimiliki oleh para peraih dan pengguna itu sendiri, golongan ini akan mampu menerima sebarang perubahan yang boleh membantu mereka menilai sendiri akan pentingnya implikasi dan aspek keselamatan makanan yang berkualiti tinggi dan terjamin. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Khartini Hamir)

0 comments:

Post a Comment