Friday, 12 November 2010

Anugerah Usahawan Muda Menjana Kemahiran Bidang Perniagaan

Twitter Facebook More

Oleh : Haniza Abdul Latif

Bandar Seri Begawan (04 November 2010) - Masa depan bergantung pada generasi berikutnya dan sebagai salah satu institusi kewangan global utama yang mempunyai sejarah panjang dalam membantu belia melalui pelbagai tajaan dan projek-projek, Hongkong and Shanghai Bank Corporation (HSBC) menggalakkan kepandaian dan keusahawanan orang muda yang berkualiti dan mempunyai sifat kepimpinan dalam bidang perniagaan.


Ketua Pegawai Eksekutif HSBC, Tuan Tareq Mahmood berkata kerjasama HSBC dan Kementerian Pendidikan itu adalah sebagai sokongan kepda SPN21 yang menekankan kemahiran asas teknikal, vokasional dan perniagaan yang mana memberi pulang bagi membuat perniagaan sendiri dan peluang-peluang pekerjaan yang lain.

Berucap menyampaikan ucapan alu-aluan di Pelancaran Anugerah Usahawan Muda 2010-2011 (YEA), HSBC di Pusat Tingkatan Enam Katok (PTEK), di sini, beliau menambah program pendidikan ini juga dirangka bagi membantu para pelajar dalam membuat persediaan untuk menjadi pemimpin perniagaan pada masa depan.

Hadir melancarkan anugerah tersebut ialah Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kemeterian Pendidikan, Awang Ibrahim bin Haji Abdul Rahman.

Pertandingan tersebut turut memberi peluang kepada para peserta dalam mempelajari tatacara perniagaan dan untuk membina pelan perniagaan yang inovatif.

HSBC telah melancarkan YEA 2010-2011 Ke-4 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan di PTEK.

Anugerah tersebut merupakan pertandingan menulis pelan perniagaan yang telah dilancarkan di negara ini pada tahun 2008 bagi memberi galakan innovasi dan kreativiti di kalangan penuntut dan dibuka untuk penuntut pengajian tinggi termasuk mereka yang telah menamatkan B.G.C.E peringkat 'O' dan memulakan peringkat 'A', diploma atau ijazah serta mereka yang mengikuti lepasan sarjana.

Ia mula dilancarkan di Hong Kong pada tahun 2000 di mana pertandingan HSBC YEA ini berjalan serentak di enam buah negara yang lain iaitu Hong Kong, Malaysia, Republik Filipina, Thailand, Bangladesh, Viet Nam dan Negara Brunei Darussalam.

Pada pertandingan tahun ini, tiga kumpulan yang memenangi emas, perak dan gangsa dari negara ini akan berpeluang mengikuti lawatan keusahawanan di Malaysia selama seminggu.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan dan pegawai-pegawai kanan HSBC serta penuntut-penuntut Tingkatan Enam dari seluruh negara.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment