Tehran, Republik Islam Iran (09 November 2010) - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Haji Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan berkenan berangkat menghadiri pembukaan rasmi Mesyuarat Dialog Kerjasama Asia Ke-9 (9th ACD) di Summit Conference Centre, di sini.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia telah dijunjung oleh Menteri Luar Republik Islam Iran, Tuan Yang Terutama Manouchehr Mottaki selaku Pengerusi ACD Ke-9.
Mesyuarat dialog itu telah dibuka rasmi oleh Presiden Republik Islam Iran, Tuan Yang Terutama Mahmoud Ahmadinejad dalam ucapan antara lain berkata negara-negara Barat telah gagal dalam hal ekonomi dan tidak mampu menjaga keseimbangan mereka atau mengawasi tatanan dunia ekonomi.
Tuan Yang Terutama menambah kegagalan tersebut mempunyai akar dalam pandangan mereka, wawasan, hubungan manusia dan tanggung jawab mereka.
Menurut TYT, kedegilan global menganggap dirinya di atas orang lain dan menganggap bahawa kerana mempunyai kekuatan tentera boleh mengganggu dalam segala urusan global dengan mengamalkan dasar-dasar tidak berperikemanusiaan.
Jelas TYT, mereka percaya bahawa kesejahteraan mereka dan kekayaan berada di atas martabat semua orang dan untuk alasan yang sama, mereka hanya menginjak-injak hak-hak yang sah atas semua bangsa.
Asia adalah tempat lahir tamadun besar, kata TYT.
"Budaya Asia yang penuh kebaikan, semangat pengabadian dan persahabatan, menambah bahawa benua ini sekarang diberkati dengan kesusasteraan tahan lama dan kaya," jelas TYT.
Sementara itu, dalam kenyataan pembukaan oleh Menteri Luar Republik Islam Iran, TYT Manouchehr Mottaki, pula antara lain mengatakan Mesyuarat Dialog Kerjasama Asia menyediakan satu peluang ke arah mewujudkan satu kerjasama antara negara-negara ahli.
TYT berkata, ACD yang dianggotai oleh 31 buah negara merupakan terbesar di blok benua Asia.
Jelasnya, ACD telah diwujudkan pada tahun 2002 atas cadangan Thailand dan diikuti dengan mesyuarat lapan para menteri luar dan sekarang telah banyak bidang kerjasama dan dialog menjadi perhatian semua negara-negara ahli.
Objektif utama terbentuknya ACD adalah untuk mempromosikan saling pergantungan antara negara-negara Asia di semua bidang kerjasama dengan mengenal pasti kekuatan bersama di Asia dan peluang yang akan membantu mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup orang Asia, sementara mengembangkan masyarakat berasaskan pengetahuan di Asia.
Di samping itu, untuk memperluaskan usaha dan pasaran kewangan di Asia dan meningkatkan daya saing ekonomi Asia di pasaran global; berserta menjadikan benua Asia sebuah masyarakat di Asia, yang mampu berinteraksi dengan seluruh dunia pada kebijakan yang lebih setara dan menyumbang secara lebih positif menuju keamanan dan keselamatan.
Tema dialog kali ini 'Menuju Perpaduan Di Asia dan Integriti: Mempromosikan Kesejahteraan, Keamanan dan Keadilan' (Toward Asian Solidarity and Integrity: Promoting Prosperity, Peace and Justice). -- hak milik Pelita Brunei
(Laporan : Abdullah Asgar dari Tehran, Republik Islam Iran)
Tuesday, 16 November 2010
Berangkat Ke Perasmian Mesyuarat Dialog Kerjasama Asia Ke-9
Posted by Neo Minda on 20:41


0 comments:
Post a Comment