Wednesday, 17 November 2010

Cuti 100 Hari Bagi Wanita Bersalin Wajar Diberikan

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (11 November 2010) - Kepentingan wanita dalam Perkhidmatan Awam di Negara Brunei Darussalam diambil perhatian memandangkan mereka juga mempunyai kepentingan yang sama dalam berperanan memperjuangkan maruah bangsa dan negara dalam pelbagai bidang sama ada dalam sektor kerajaan mahupun sektor swasta.


Baru-baru ini kesejahteraan wanita turut diambil berat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sesi soal jawab bersama Menteri Kesihatan sempena lawatan baginda ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada 20 Oktober lalu.

"Yang kita di Brunei bagaimana? Sudah hampir dua dekad kita memakai peraturan lapan minggu (56 hari) bagi cuti bersalin. Tidakkah kita teringat untuk me'revise' apa kekurangan atau kelebihan, apakah 56 hari itu sudah cukup atau dianggap terlalu singkat. Kalau cukup, apa alasan dan kalau tidak cukup mengapa tidak cukup dan apa rasionalnya ia tidak cukup," demikian petikan titah baginda dalam sesi soal jawab di bangunan Kementerian Kesihatan pada hari tersebut.

Menyentuh mengenai titah baginda itu, wakil PELITA BRUNEI menemu bual beberapa orang warga Perkhidmatan Awam wanita dan mereka masing-masing memberikan pandangan secara peribadi.

Salah seorang yang ditemui, Pegawai Kaunseling Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Hajah Siti Aynah binti Haji Mohd. Yaakub berkata keputusan bercuti 100 hari adalah memadai kerana dilihat dari banyak faktor seperti dari segi penyusuan dan memberi penjagaan awal.

"Apa yang kita lihat pada masa ini banyak ibu-ibu yang terpaksa bertugas awal dan ada yang terpaksa lagi mengambil cuti selepas cuti bersalin kerana kurang sihat.

Ada setengah ibu-ibu terpaksa menyerahkan penjagaan kepada pembantu rumah dan juga dari kesihatan ada yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pekerjaan dan belum sihat sepenuhnya. Jika ada setengah ibu yang menghadapi masalah semasa bersalin dan terpaksa menjalani pembedahan mungkin tidak dapat melakukan kerja seharian, kerana terpaksa melapor untuk bertugas," terangnya penuh rasa prihatin.

Seorang lagi Pegawai Bahagian Pengerak Seni Budaya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Tuminam binti Haji Timbang ketika ditemui berkata dengan adanya cuti 100 hari ini dapatlah membantu ibu dan anak untuk bersama dan memberikan peluang mereka memberi penyusuan susu ibu dengan lebih teratur.

"Ibu tersebut juga dapat berehat sepenuhnya tanpa ada gangguan dan memikirkan pekerjaan yang banyak tertangguh. Kalau kita melihat dari segi sebaliknya mungkin adalah kesulitan dari segi kerja di pejabat seperti orang lain terpaksa mengganti sedangkan tugas harian hanya diketahui individu itu sahaja, jikalau di dalam organisasi itu banyak pekerja wanita dan hanya mempunyai sebilangan lelaki terpaksalah ditanggung oleh pihak lelaki. Sehubungan itu, bagi pihak pekerja yang hanya mempunyai gaji hari atau 'open vote' tidak dapat dipangku oleh pekerja lain kerana tidak layak sama sekali," jelasnya memberikan pandangan.

Sementara seorang pekerja di Bahagian Pengerak Seni Budaya, Dayang Sa'diah binti Haji Hitam pula menyatakan rasa syukur kerana pada pendapatnya dengan adanya peraturan baru ini dapatlah ibu-ibu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada anak damit yang baru lahir.

Walau bagaimanapun bagi pihak berkuasa katanya perlulah meneliti dengan sepenuhnya mengenai cuti 100 hari bagi memberikan tugas lebih awal untuk dapat mempelajari selok-belok mengenai tugas yang akan dipangku buat sementara.

Beliau berkata kadang-kadang jika dilihat semasa cuti 56 hari banyak yang terpaksa melapor walaupun keadaan belum mengizinkan untuk bertugas.

"Jika cuti 56 hari itu diteruskan memang tidak ada masalah akan tetapi pihak berkuasa dapat melihat jika ada setengah wanita itu mempunyai kes berat yang tidak dapat bertugas mungkin dapat diberi kelonggaran seperti dibenarkan cuti 100 hari. Ini dilihat dari segi kebaikan seseorang ibu sama ada ia layak diberikan cuti 100 hari atau tidak," jelasnya memberikan pendapat. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Rohani Hj. Abd. Hamid)

0 comments:

Post a Comment