Oleh : Rohani Hj. Abd. Hamid
Bandar Seri Begawan (01/11/2010) - Ekspo Motorshow dan SME Sempena Sambutan Penukaran Nama Bandar Brunei Menjadi Bandar Seri Begawan Ke-40 Tahun dibuka rasmi pagi kelmarin di Kawasan Letak Kereta Jalan Bendahara, di ibu negara.
Majlis Perasmian disempurnakan oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral [B] Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Selesai upacara perasmian Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dibawa melawat menyaksikan ekspo tersebut.
Ekspo yang bermula dari 28 Oktober hingga 3 November 2010 itu bertujuan menarik orang ramai dan pelancong berkunjung ke Bandar Seri Begawan.
Seorang pengujung, Dayang Liza binti Haji Alias dari Kampung Katok yang sempat ditemu bual oleh wakil PELITA BRUNEI menyatakan, beliau begitu gembira menyaksikan ekspo tersebut terutama ekspo motorshow yang jarang-jarang diadakan.
"Saya harap ekspo ini akan dapat dilanjutkan hingga awal November kerana bagi saya ekspo sebegini banyak yang dapat dilihat.
"Ini adalah kali kedua saya mengujungi ekspo ini, lagi pun banyak aktiviti yang dianjurkan seperti pertandingan go-kart dan pertandingan melukis dan mewarna bagi kanak-kanak," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pengusaha SME dari Syarikat Alai Nadhirah Ha'afizah, Dayang Hajah Rosnani binti Haji Saman dari Kampung Lambak Kanan berkata, syarikatnya yang beroperasi sejak tahun 2007 itu seringkali mengikuti ekspo tempatan dan luar negeri.
"Alhamdulliah setiap menyertai ekspo, perniagaan saya mendapat sambutan yang menggalakkan," jelas Dayang Hajah Rosnani.
Menurutnya, persiapan beliau dalam mengharungi perusahaan kecil ialah dengan mengikuti kursus di Pusat Keusahawanan Sinaut di mana pihak pusat tersebut sentiasa memantau perniagaannya.
Beliau menjelaskan, perusahaannya dijalankan hasil dari bantuan Jabatan Pertanian, Kementerian Penindustrian dan Sumber-Sumber Utama yang juga memberikan kursus pembungkusan.
Dayang Hajah Rosnani, juga melahirkan rasa syukur kerana diberikan kepercayaan membuka perniagaan kecil-kecilan seperti itu.
Manakala salah seorang hakim pertandingan Audio Sistem, Awang Shahrolwadi yang sempat ditemu bual menyatakan, pertandingan itu merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan dalam ekspo berkenaan.
Katanya, sebanyak 38 buah kereta yang memiliki audio sistem akan dinilai dari segi bunyi dan sebagainya.
-- hak milik Pelita Brunei
Monday, 1 November 2010
Ekspo Motorshow Dan SME Dibuka Di Ibu Negara
Posted by Neo Minda on 13:29


0 comments:
Post a Comment