Tuesday, 16 November 2010

'Hadiah' Yang Paling Berharga

Twitter Facebook More

Pekan Bangar (08 November 2010) - Para penerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal dan anak-anak damit yang menetap di Daerah Temburong turut menyembahkan menjunjung kasih di atas pengurniaan tersebut.


Di majlis pengurniaan yang berlangsung di Dewan Belalong, Pekan Bangar, Temburong hari ini, penerima-penerima yang terdiri dari ibu-ibu tunggal yang berdaftar di Jabatan Pembangunan Masyarakat dan anak-anak damit yang lahir di antara 7 Oktober 2009 dan 7 Oktober 2010 yang berdaftar di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan menyifatkan kurnia peribadi baginda itu sebagai ‘hadiah yang paling berharga dalam kehidupan mereka’.

Bagi Gandah Anak Belari, 39, suri rumah tangga dan suami beliau, Lidam Anak Liang, 48, yang bertugas sebagai pemandu dan menetap dari Kampung Sumbiling Baru, Temburong, berhasrat untuk menabung bagi masa depan dan perbelanjaan anak beliau sehari-hari.

Menurutnya, anak lelaki beliau, Jason Jack Anak Lidum, berumur satu tahun lebih, lahir pada 19 Oktober 2010 merupakan anak yang kelima.

Beliau melahirkan rasa gembira dan terharu sebagai rakyat Brunei kerana anak beliau telah terpilih sebagai seorang penerima kurnia peribadi Kebawah DYMM Raja Isteri yang merupakan seorang raja yang prihatin terhadap rakyat terutama sekali kepada para kaum ibu.

Sementara itu, Dayang Mas Amalina binti Ahmad Mustapah, 22, yang bertugas sebagai Operator GUS, yang menetap dari Kampung Pengiran Tajuddin Hitam berkata beliau merasa amat bersyukur dan tidak menyangka anak perempuan beliau Nor lina Nadirah binti Abdullah, berumur enam bulan, lahir pada 2 Mei 2010 merupakan anak pertama yang terpilih sebagai penerima anugerah peribadi tersebut serta mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada baginda dan di atas penganugerahan tersebut beliau berhasrat untuk menyimpan bagi menampung perbelanjaan anak beliau nanti.

Sementara itu menurut Rebina Tom, 37, ibu kepada Lilian Lim May Lan, berusia lima bulan, lahir pada 12 Julai 2010 merupakan anak keenam yang merupakan suri rumah tangga dan suami beliau, Lim Eng Ten, 57, yang berniaga sendiri dan menetap di Pekan Bangar.

“Saya merasa bersyukur kerana anak saya terpilih sebagai penerima anugerah kurnia peribadi Kebawah DYMM Raja Isteri kerana baginda mengambil berat tentang rakyat dan bermurah hati untuk memberikan anugerah tersebut dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kehadapan majlis baginda,” jelas Rebina.

“Saya merancang untuk masa depan anak saya apabila besar nanti bagi persekolahan anak saya,” jelasnya.

-- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Saerah Hj. Abd. Ghani & Mas’Ayu Perwira Asgar Hj. Abdullah)

0 comments:

Post a Comment