Bandar Seri Begawan (07 November 2010) - Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Awang Haji Muhd. Jamal bin Haji Tersad menyarankan kepada semua jururawat agar sentiasa peka dan berusaha meningkatkan pengetahuan masing-masing secara berterusan.
Beliau membuat seruan itu semasa berucap selaku tetamu kehormat Majlis Penyampaian Surat Lantikan Bagi Pengurus Wad/Unit dan Penolong Pengurus Wad/Unit, di sini.
Awang Haji Muhd. Jamal menambah, tanpa pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi dan terkini, kebolehan seseorang jururawat akan terhad yang kesannya, pesakit tidak akan mendapat penjagaan dan pemantauan yang memenuhi keperluan yang selaras dengan tahap dan keadaan penyakit yang mereka hadapi.
"Jika sekiranya biskita gagal untuk menonjolkan kewibawaan dan kebolehan untuk memberikan perawatan dan penjagaan kepada pesakit yang dalam penjagaan biskita, ianya akan menimbulkan keraguan dan kurang yakin pesakit terhadap biskita sendiri, rakan yang lain dan organisasi secara keseluruhannya," tegasnya.
Beliau juga berharap agar lantikan itu akan dapat mempertingkatkan kemantapan pengetahuan, kebolehan serta kemahiran mereka untuk mengendalikan dan melaksanakan tugas dengan lebih baik, teratur dan sempurna bagi menghasilkan mutu kerja dan perkhidmatan yang berkualiti demi kebaikan pesakit dan pelanggan perkhidmatan.
Bagi kakitangan yang mengetuai wad dan unit serta mereka yang menjalankan tugas pengurusan dan pentadbiran beliau mengingatkan agar mereka sentiasa memata-matai dan menilai kebolehan dan kemahiran kakitangan di bawah jagaan mereka.
Seramai sebelas Pengurus Wad dan 49 Penolong Pengurus Wad yang baru telah dilantik untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.
-- hak milik Pelita Brunei
Sunday, 14 November 2010
Jururawat Disaran Sentiasa Tingkatkan Pengetahuan
Posted by Neo Minda on 18:54


0 comments:
Post a Comment