Oleh : Dk. Hjh. Saidah Pg. Hj. Omaralli
Lumut (31/10/2010) - Seiring dengan pembangunan pesat dan pertambahan penduduk di kawasan Lumut, Kementerian Pendidikan kini membina sebuah lagi sekolah menengah bagi menampung jumlah penuntut yang semakin meningkat di kawasan terbabit.
Sekolah Menengah Kampung Lumut yang kini dalam proses pembinaan merupakan yang kedua didirikan, di samping Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah yang sedia ada di kawasan berkenaan.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar ketika ditemui sejurus selepas menyempurnakan Majlis Peletakan Batu Asas Bangunan Baru Sekolah Menengah Kampung Lumut menyatakan, dalam Rancangan Kemajuan Negara (RKN), dua buah sekolah menengah lagi akan dibina di Daerah Belait iaitu Pusat Tingkatan Enam (PTE) dan Maktab Sains.
Yang Berhormat berkata, dengan adanya kemudahan PTE di Daerah Belait akan memberi kemudahan yang lebih baik di masa akan datang.
Pada ketika ini PTE Daerah Belait ditempatkan di Sekolah Menengah Sayyidina Ali.
Selain itu, kata Yang Berhormat, sebuah sekolah rendah juga akan dibina.
Menurut Yang Berhormat, di samping pembinaan sekolah-sekolah baru, Kementerian Pendidikan juga sudah mempunyai rancangan iaitu Projek Pembaikan Infrastruktur dan Bangunan Sekolah (BISAI) iaitu memperbaiki sekolah-sekolah yang sedia ada dan meningkatkan taraf bagi kemudahan sekolah supaya memberi kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pelajar-pelajar dan guru-guru.
Majlis Peletakan Batu Asas Bangunan Baru Sekolah Menengah Kampung Lumut didahului oleh Menteri Pendidikan diikuti oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusoff dan seterusnya jemputan-jemputan khas yang lain.
Projek Sekolah Menengah Kampung Lumut di bawah RKN Ke-8 yang dibina di atas tapak seluas tujuh hektar dan menelan kos BND18,335,881.20 itu boleh menampung 1200 penuntut.
Kerja-kerja pembinaan sekolah berkenaan mengambil masa selama 18 bulan bermula 4 Mei lalu dan dijangka siap 3 November tahun depan.
Sekolah menengah baru itu menempatkan lima buah blok termasuk blok pentadbiran dan blok perpustakaan serta bilik kuliah yang boleh menampung 160 penuntut.
Selain itu ia juga menempatkan sebuah blok mengandungi 40 buah bilik darjah, 17 bilik khas (bilik geografi, sejarah dan lain-lain) termasuk 12 makmal sains serta makmal komputer.
Sekolah itu juga menempatkan blok kantin yang boleh memuatkan 380 penuntut dan sebuah dewan serba guna, di samping kemudahan lain seperti bilik mesyuarat, bilik kerja guru, padang bola dan balapan serta tempat letak kereta.
Sejurus selepas Majlis Peletakan Batu Asas, Yang Berhormat bersama rombongan Kementerian Pendidikan melawat ke Sekolah Rendah Lumut.
Ketibaan Yang Berhormat dialu-alukan oleh Guru Besar sekolah itu, Dayang Hajah Sediah binti Haji Madli, Penolong Guru Besar, Dayang Alitta binti Abet dan beberapa guru kanan sekolah berkenaan.
Semasa berada di sekolah tersebut, Yang Berhormat dan rombongan berkesempatan meninjau prasarana, pengajaran dan pembelajaran dan kerja-kerja pengubahsuaian serta menaik taraf yang sedang dijalankan di sekolah tersebut.
Kerja-kerja pengubahsuaian dan menaik taraf adalah di bawah Projek BISAI, salah satu dari projek Kementerian Pendidikan dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
Dalam sesi taklimat yang disampaikan oleh guru besar sekolah berkenaan, Yang Berhormat diberikan penerangan mengenai impak positif terhadap beberapa projek yang dilaksanakan oleh sekolah tersebut seperti Program Peningkatan Sekolah (SIP) yang dikelolakan bersama oleh Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan dan juga Program Kepimpinan Sekolah (SLP).
Melalui SLP beberapa inisiatif dan strategi diambil oleh pihak Sekolah Rendah Lumut dalam memastikan agar mereka dapat mencapai kejayaan dalam projek 'to increase Year 5 and Year 6 competency in division capabilities'.
Guru besar sekolah berkenaan juga sangat menghargai kerjasama yang diberikan oleh ibu bapa dalam sama-sama mendukung kejayaan terhadap projek tersebut.
Bangunan sementara Sekolah Rendah Lumut dibina pada tahun 1963 dan diganti dengan bangunan kekal pada tahun 1968 dengan pembinaan blok A menempatkan dewan dan enam buah bilik darjah.
Manakala pada tahun 1984 sekolah tersebut ditambah lagi dengan pembinaan bangunan kekal, blok pentadbiran.
Sekolah tersebut yang kini mempunyai 251 murid Pra hingga Tahun 6 dengan 26 guru dan lapan kakitangan itu akan meraikan jubli emasnya pada tahun 2014.
-- Hak milik Pelita Brunei
Monday, 1 November 2010
Kampung Lumut Bakal Mempunyai Sekolah Menengah Baru
Posted by Neo Minda on 12:35


0 comments:
Post a Comment