Oleh : Abu Bakar Hj. Abdul Rahman
Bandar Seri Begawan (03 Nov 2010) - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah berkata selain mengadakan kegiatan sukan sepanjang tahun adalah penting bagi persatuan-persatuan sukan di negara ini untuk menghasilkan 'data base' bagi atlet-atlet sukan masing-masing.
Kerana dengan adanya maklumat yang lebih lengkap melalui sistem 'data base' tersebut katanya, sudah tentu akan memudahkan untuk membuat penilaian termasuk mewujudkan satu system ranking para atlet dan seterusnya membuat perancangan bagi mempertingkatkan pencapaian atlet-atlet berkenaan.
Justeru itu jelasnya, dengan adanya jadual-jadual dan kegiatan-kegiatan sukan yang kerap, terarah dan tersusun sepanjang tahun kita akan dapat menarik minat, memberi galakan serta mengasuh para remaja dan belia-belia untuk terus bergiat di bidang sukan.
Dalam waktu yang sama tegasnya, mereka akan dapat mengangkat martabat pesta sukan negara sebagai sukan yang berprestij dan merupakan sebagai kemuncak atau klimaks perhimpunan sukan di negara ini.
"Bagi tujuan ini kita perlu mengadakan 'standard' atau 'qualifying entry requirement' bagi atlet-atlet yang akan bertanding di pesta sukan nanti. Perkara ini perlu kita fikirkan bersama pelaksanaannya," jelasnya.
Yang Berhormat menyatakan perkara tersebut semasa perjumpaannya bersama dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan di negara ini yang diadakan di Bilik Persidangan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas di sini.
Yang Berhormat juga menyarankan persatuan-persatuan sukan dalam menganjurkan kegiatan-kegiatan sukan yang kerap dan mengasuh atlet-atlet yang berpotensi supaya akan mengambil inisiatif dalam mendapatkan sumber-sumber kewangan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.
Ini menurutnya, dapat dilakukan dengan mewujudkan rakan kongsi dan rangkaian dengan syarikat-syarikat swasta dalam sama-sama melaksanakan perjumpaan atau perhimpunan sukan serta membimbing dan menjadikan atlet-atlet pelapis dan elit sebagai anak angkat sukan di mana mereka boleh mendapat tajaan terutama sekali dalam menyertai pertandingan di luar negara.
Yang Berhormat percaya dengan kaedah 'public private partnership' akan dapat menyumbang ke arah memajukan sukan di negara ini di samping dapat melahirkan atlet-atlet yang dapat mengharumkan nama negara suatu hari nanti.
Hadir sama di majlis perjumpaan berkenaan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman.
Perjumpaan yang dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan tersebut adalah bagi mengetahui perkembangan dan perancangan persatuan-persatuan sukan kebangsaan di dalam pembangunan sukan, terutama di dalam persediaan menghadapi kejohanan-kejohanan sukan bertaraf serantau dan antarabangsa.
-- hak milik Pelita Brunei
Friday, 12 November 2010
Kegiatan Sukan Sepanjang Tahun Penting Untuk Menghasilkan 'Data Base' Para Atlet
Posted by Neo Minda on 13:45


0 comments:
Post a Comment