Tutong (08 November 2010) - Dengan memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, para penerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Mahrum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam kepada anak-anak damit yang lahir di antara 7 Oktober 2009 dan 7 Oktober 2010 yang berdaftar di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan ibu-ibu tunggal yang berdaftar di Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Majlis Ugama Islam Brunei yang bermastautin di Daerah Tutong turut menyembahkan terima kasih sambil menjunjung kasih kehadapan majlis baginda.
"Dengan adanya kurnia baginda ini akan dapat disimpan dan digunakan bila perlu sahaja dan juga bagi keperluan harian cucu-cucu saya," jelas Dayang Intan binti Taib, 75, seorang ibu tunggal.
Beliau sebelum ini tinggal di Kampung Sengkarai, Tutong dan kini menetap bersama anak beliau di Kampung Lambak melahirkan rasa bersyukur dan gembira kerana diberikan kurnia peribadi baginda yang amat berharga ini.
Sementara itu, Khoo Eng Leong, 49, suri rumah tangga yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan, sangat bergembira dan bersyukur di atas pengurniaan kurnia tersebut.
Menurutnya, kurnia peribadi ini setentunya akan dapat menampung perbelanjaan seharian mereka.
Beliau juga tidak lupa menyembahkan terima kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha atas kurnia peribadi baginda ini.
Manakala seorang lagi penerima, Ng Yeo Koi, 58, pula menyatakan rasa gembira dan menyanjung tinggi atas kemurahan hati dan sikap keprihatinan baginda terhadap rakyat yang hidup serba kekurangan.
Dayangku Norfedina binti Pengiran Abdul Karim, 22, ibu kepada Nurfedatul Erma Haqillah binti Hermanto, empat bulan, berkata beliau juga amat bersyukur dan melahirkan kegembiraan menerima anugerah baginda dan menyifatkan kurnia berkenaan merupakan rezeki daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Katanya, kurnia yang beliau terima itu akan disimpan sebagai jaminan masa hadapan anak beliau terutama sekali bagi masa depan pendidikan.
Ibu kepada tiga orang anak, Dayang Rosmewati binti Samail, 34, juga melahirkan rasa terima kasih di atas kurnia tersebut dan akan menggunakan kurnia peribadi itu bagi anaknya, Ashiimah binti Muhammad Ilmeni yang berumur lapan bulan.
Bagi Dayang Noradinah binti Haji Sisa, 27, guru Sekolah Rimba II dan ibu kepada Aqeef bin Haji Muhammad Faizal, lapan bulan, juga berkongsi kegembiraan yang anak beliau menerima kurnia peribadi itu.
"Kurnia peribadi yang diterima oleh anak saya ini akan dapat digunakan bagi masa hadapan pelajaran anak-anak saya di masa mendatang," jelasnya lagi.
-- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Aryentty Hj. Ariffin)
Tuesday, 16 November 2010
Kurnia Peribadi Digunakan Bagi Jaminan Masa Depan
Posted by Neo Minda on 14:19


0 comments:
Post a Comment