Tutong (10 November 2010) - Kempen Derma Darah anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling Ma'had Islam Brunei hari ini berjaya mengumpul sejumlah 27 pain darah dari 27 orang penderma terdiri dari para pegawai, guru-guru, kakitangan dan para pelajar maktab berkenaan.
Ketika ditemui, Pegawai Pelajaran, Ketua Unit Bimbingan dan Kaunseling Ma'had Islam Brunei, Awang Mafshah Shahrin bin Haji Majid menjelaskan kempen tersebut diadakan bertujuan bagi memberikan sokongan dan keprihatinan kepada masyarakat umum di samping menanamkan nilai-nilai murni dan sifat beramal jariah kepada masyarakat bahawa dengan menderma seunit darah boleh meyelamatkan tiga nyawa.
"Kempen ini juga adalah bagi menyahut seruan kerajaan iaitu membantu Tabung Darah Negara bagi pesakit-pesakit yang lebih memerlukan sumbangan darah tersebut," jelasnya pada menyokong kempen yang diadakan di Ruang Legar Ma'had Islam Brunei Tutong, di sini.
Sementara itu salah seorang penderma, Dayang Rozimah binti Haji Tawhat, seorang kakitangan di maktab berkenaan ketika ditemui oleh wakil PELITA BRUNEI menjelaskan ini merupakan kali ke-3 beliau mendermakan darah.
Di kesempatan ini beliau menyarankan orang ramai yang mencukupi syarat untuk menderma supaya dapat tampil ke hadapan mengikuti projek menderma darah sedemikian yang bukan sahaja bagi kesihatan diri sendiri tetapi juga penting untuk membantu orang yang memerlukan darah.
Bagi Awang Haji Saiful Rizal bin Haji Zainal, 36, salah seorang tenaga pengajar di maktab berkenaan berkata beliau merasa gembira kerana dapat menyumbangkan sesuatu yang berharga dalam membantu nyawa seseorang di samping dapat berkhidmat kepada masyarakat.
Setiap individu yang menderma darah hendaklah sihat dan bebas dari selesema, demam panas dan penyakit-penyakit lain pada waktu menderma darah selain mempunyai berat badan sekurang-kurangnya 50 kilogram atau 110 paun dan berumur 18 tahun ke atas.
Acara seumpamanya merupakan projek tahunan unit berkenaan dan merupakan kali ke-3 diadakan. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Aryentty Hj. Ariffin)
Wednesday, 17 November 2010
Ma'had Islam Brunei Mendermakan 27 Pain Darah
Posted by Neo Minda on 20:44


0 comments:
Post a Comment