(07 November 2010) Jabatan Buruh melalui Bahagian Kajian dan Perangkaan memaklumkan kepada semua majikan di Negara Brunei Darussalam bahawa penerimaan borang-borang Banci Majikan/Pekerja, Kadar Gaji Pendapatan dan Jam-jam Bekerja bagi tahun 2010 sudah bermula.
Borang-borang mesti diisikan dengan lengkap dan dihantar beserta dengan salinan lesen buruh (yang berkenaan sahaja) sebelum 30 November 2010 ke Bahagian Kajian dan Perangkaan, Tingkat 5, Ibu Pejabat Jabatan Buruh, Bangunan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Jabatan Buruh, Jalan Menteri Besar atau di Cawangan Pejabat Buruh di daerah-daerah yang berhampiran pada waktu pejabat manakala bagi majikan-majikan yang menggunakan CD-R hendaklah mengembalikannya berserta dengan cetakan borang yang telah lengkap diisikan. Borang-borang yang tidak diisikan dengan lengkap tidak akan diterima.
Banci yang dijalankan itu dimestikan kepada semua majikan untuk memberikan maklumat-maklumat para pekerja di bawah tanggungan mereka ke Jabatan Buruh seperti yang telah diperuntukkan di bawah Bab 3 (1) Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Penggal 99.
Walau bagaimanapun bagi majikan yang menggaji pekerja asing bagi tujuan perkhidmatan rumah tangga persendirian (amah) adalah dikecualikan daripada banci ini.
Manakala syarikat yang sudah tidak beroperasi atau ditutup hanya dikehendaki untuk memberi makluman bertulis ke jabatan ini tentang kedudukan berkenaan sebelum tarikh akhir borang dikembalikan.
Oleh yang demikian, mana-mana majikan yang belum lagi mendapat borang baru banci hendaklah mendapatkannya dengan segera di Bahagian Kajian dan Perangkaan atau pun di Cawangan Pejabat Buruh di daerah-daerah yang berdekatan pada waktu pejabat.
Diingatkan kepada semua majikan bahawa di bawah Bab 8, Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Penggal 99, barang siapa yang gagal menghantar maklumat ini sebelum atau pada 30 November, jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak BND2,500 dan penjara enam bulan dan jika berterusan boleh didenda sebanyak BND50 sehari.
Untuk keterangan lanjut sila hubungi Bahagian Kajian dan Perangkaan melalui nombor telefon 2383006 sambungan 5300/5301/5302/5304 dan 5305.
-- hak milik Pelita Brunei
Sunday, 14 November 2010
Makluman: Penerimaan borang Banci Majikan/Pekerja 2010 bermula
Posted by Neo Minda on 18:51


0 comments:
Post a Comment