Tuesday, 16 November 2010

Pengurniaan Peribadi, Mencerminkan Baginda Raja Isteri Seorang Pengasih Dan Penyayang

Twitter Facebook More

Kuala Belait (08 November 2010) - Kurnia peribadi dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha yang pengasih dan penyayang bukan sahaja menggembirakan rakyat yang menerimanya bahkan juga membantu meringankan beban sesebuah keluarga.


Majlis Penganugerahan Kurnia Peribadi baginda kepada ibu tunggal yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Majlis Ugama Islam Brunei dan anak-anak damit yang lahir di antara 7 Oktober 2009 dan 7 Oktober 2010 yang berdaftar di Jabatan Imigresen Pendaftararan Kebangsaan di Negara Brunei Darussalam bagi Daerah Belait berlangsung pagi tadi di Dewan Makan Batalion Ke-3, Perkhemahan Lumut.

Kurnia disampaikan oleh puteri-puteri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Sehubungan itu, wakil PELITA BRUNEI telah menemu bual beberapa orang ibu bagi anak-anak damit yang menerima kurnia tersebut.

Dayang Saadiah binti Murni, bersama anak pertamanya, Mohd. Irfan Aqil bin Mohd. Harno, lima bulan dari Kampung Tanjong Maya, Tutong, merasa bersyukur diatas kurnia peribadi daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Saleha binti Al-Mahrum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam yang dikurniakan kepada anaknya.

"Kami sekeluarga pada awalnya seakan tidak percaya tentang khabar kurnia peribadi ini tetapi inilah realitinya," jelas ibu kepada anak damit yang dilahirkan pada 14 Mei 2010 di Hospital Suri Seri Begawan, Belait.

Menurunya, kurnia ini akan dijadikan sebagai simpanan anaknya untuk di masa hadapan seandainya menghadapi saat-saat kesukaran dan sebagainya.

Kegembiraan menyelubungi kami sekeluarga kerana anak kami telah menjadi salah seorang anak damit yang bertuah menerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri.

Dayang Nurhamdena binti Haji Mohd. Musa dari Kampung Sungai Teraban yang sedang mendukung anaknya, Nurhamizah Amanee binti Haji Jefferi Iskandar, tiga bulan yang dilahirkan pada 15 Julai 2010, juga bersamaan dengan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pula menyatakan, "Sama seperti ibu-ibu yang mempunyai perancangan untuk anak-anak mereka, saya juga ingin meyimpan kurnia ini sebagai simpanan masa hadapan anak saya kerana ini adalah haknya dan rezekinya yang sudah ditentukan oleh Allah," jelasnya.

"Saya sangat berbesar hati dan menyembahkan terima kasih kehadapan majlis baginda atas kurnia baginda ini kerana dengan adanya kurnia baginda ini, ianya akan dapat menjadi langkah pertama sebagai simpanan masa hadapan anak saya," jelas Dayang Hajah Rafeah binti Kumit yang sudah mempunyai perancangan bagi anaknya yang berumur enam bulan, Qaisara Zafirah binti Haji Ibrahim dari Kampung Tungulian, Seria.

Beliau menyatakan sememangnya dia dan suami tidak menyangka akan kurnia tersebut tetapi itulah hakikatnya kerana mendapat rezeki dari seorang permaisui raja yang berjiwa rakyat yang sentiasa prihatian dan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat jelata terutama sekali golongan yang kurang bernasib baik dalam kehidupan harian mereka.

Suzy Nicholas Thom bersama anaknya, Sophia Marie Thom, 11 bulan dilahirkan pada 18 November 2009 sudah menetap di negara ini selama dua tahun lebih bersama suaminya bertugas sebagai seorang Pegawai Tentera di British Army at Tuker Lines, Seria.

"Negara Brunei Darussalam sebenarnya sangat bertuah kerana mempunyai seorang raja yang berjiwa rakyat yang sentiasa pemedulian terhadap nasib rakyat baginda kerana kejarangan perkara seumpama ini berlaku di negara-negara lain," katanya.

Beliau seterusnya menyembahkan terima kasih kehadapan majlis baginda atas kurnia baginda itu yang menunjukkan kerajaan baginda dalam membantu mereka yang memerlukan tidak mengira bangsa dan agama.

-- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Dk. Redzaimi Pg. Hj. Ahmad)

0 comments:

Post a Comment