Oleh : Abu Bakar Hj. Abdul Rahman
Bandar Seri Begawan (07 November 2010) - Semua 'stakeholders', kerajaan serta badan-badan swasta yang berkepentingan diseru supaya sama-sama berkorban sama ada dalam bentuk tajaan, perhatian dan pemikiran, perancangan dan pelaksanaan dan sebagainya dalam membantu meningkat-majukan atlet-atlet negara khususnya dan pembangunan sukan negara amnya.
Seruan tersebut disabdakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) di Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Asia Ke-16, Guangzhou, Republik Rakyat China.
"Banyak pengorbanan maka banyaklah peningkatan, pencapaian dan gemilangnya," sabda Duli Yang Teramat Mulia.
Ketika bersabda di majlis yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di sini, DYTM mengucapkan syabas dan tahniah kepada atlet-atlet yang terpilih yang difahamkan kesemuanya telah dan sedang menjalani latihan intensif dan latihan 'warm up' di luar negara semata-mata untuk mendapatkan pengalaman bertanding dengan rakan-rakan atlet luar negara yang lebih berkemahiran dan berpengalaman dalam acara sukan masing-masing.
Melalui laporan yang diterima dari semasa ke semasa sabda DYTM, para atlet negara telah menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh di bawah bimbingan jurulatih masing-masing dengan bantuan badan-badan sukan di luar negara.
DYTM turut menyedari bahawa latihan-latihan yang dilalui tersebut adalah sukar dan berat namun dengan kegigihan dan kesungguhan para atlet semua cabaran telah dapat diatasi dengan jayanya.
"Inilah yang dikatakan pengorbanan. Pengorbanan yang pernah dilalui oleh setiap atlet ternama di seluruh dunia. Berusaha dan terus berusaha dengan tidak mengenal erti jemu, penat dan takut. Kerana dengan cara inilah saja untuk seseorang atlet itu dapat memperbaiki keupayaan diri dan pencapaian masing-masing," tegas DYTM.
Justeru itu Presiden BDNOC menaruh harapan yang tinggi agar Sukan Asia Ke-16 pada tahun ini akan mencatatkan satu sejarah dan kecemerlangan yang lebih baik kepada atlet-atlet negara khususnya dan Negara Brunei Darussalam amnya.
"Saya penuh percaya jika atlet-atlet negara dapat mengekalkan komitmen dan prestasi cemerlang masing-masing seperti yang ditunjukkan semasa latihan intensif di luar negara ditambah lagi dengan keazaman, kesungguhan untuk berjaya, percaya akan kebolehan masing-masing, sentiasa fokus disertai dengan semangat perjuangan untuk negara insya-Allah kita akan dapat mencapai apa yang kita harap-harapkan itu," sabda DYTM dengan kepercayaan.
Terdahulu dari itu, DYTM melahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan di atas sokongan yang diberikan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darusalam kerana dapat menghantar satu kontinjen ke temasya Sukan Asia Ke-16 ini.
Kontinjen tersebut mengandungi sembilan orang atlet yang akan menyertai dalam lima acara sukan seperti Billiards, Karate-do, Lawan Pedang, Wushu dan Equestrian.
Penyertaan negara ke Sukan Asia yang dianjurkan oleh Majlis Olimpik Asia atau Olympic Council of Asia (OCA) ini merupakan penyertaan kali ke-6 sejak kali pertama pada tahun 1990 yang juga diadakan di Republik Rakyat China.
Menyentuh dengan pencapaian negara di temasya Sukan Asia ini, DYTM menjelaskan bahawa negara hanya mampu pengutip dua pingat gangsa melalui sukan karate-do pada Sukan Asia Ke-12 di Hiroshima Jepun pada 1994.
Manakala satu gangsa diperoleh melalui acara sukan sepak takraw pada Sukan Asia Ke-13 di Bangkok Thailand 1998 dan satu gangsa melalui sukan karate-do pada Sukan Asia Ke-14 di Busan, Korea Selatan 2002.
-- hak milik Pelita Brunei
Sunday, 14 November 2010
Peningkatan Pencapaian Atlet Negara Perlu Pengorbanan
Posted by Neo Minda on 19:00


0 comments:
Post a Comment