Tuesday, 16 November 2010

Peraduan Seni Lukis, Kraf Tangan Bertujuan Mencungkil Bakat Seni Lukis Generasi Muda

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (09 November 2010) - Perhatian dan minat yang ditunjukkan oleh pihak-pihak yang berkenaan khususnya di kalangan kerabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat baginda serta orang-orang kenamaan dalam memajukan setapak lagi perkembangan seni lukis, kreatif dan kraf tangan di tanah air masa kini merupakan satu petanda yang memberangsangkan dalam menaikan taraf martabat para pelukis dan pencipta.


Ini merupakan satu petanda dalam memartabatkan para pelukis dan pencipta kreatif dalam berusaha merealisasikan tertubuhnya dewan atau galeri seni lukis yang rasmi dan ternama dalam masa terdekat.

Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum Selaku Pengerusi Majlis, Awang Abd. Ghani bin Haji Kadir menyatakan demikian di Majlis Penyampaian Hadiah Bagi Pemenang Peraduan Seni Lukis, Kreatif dan Kraf tangan Sekolah-sekolah Rendah, Menengah, Maktab dan Pra-Universiti Ke-43 Tahun 2010 di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Lapangan Terbang Lama di sini.

Beliau menjelaskan, peraduan seni lukis, kreatif dan kraf tangan yang diadakan setiap tahun bagi mencungkil bakat seni lukis di kalangan generasi muda, khususnya pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan memberi ruang serta peluang buat mereka menghasilkan karya melalui ekspresi minda di samping memperkayakan lagi khazanah seni lukis yang semakin bertambah.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Pengarah Pentadbiran dan Perkhidmatan-Perkhidmatan Kementerian Pendidikan, Pg. Shahminan bin Pg. Haji Mohd. Salleh.

Hadiah-hadiah kemenangan dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu Kategori A bagi Tahun 4 hingga 6, Kategori B bagi Tahun 1 hingga 3 dan Kategori C bagi Pra-Sekolah khusus bagi kebolehan kreatif para murid itu sendiri.

Kategori Menengah terdiri kepada pelajar-pelajar Tahun 7 hingga11, terbahagi kepada lima kategori iaitu Kategori Gubahan Fikiran, Kategori Potret Orang-orang Kenamaan, Kategori Alam Semula jadi, Kategori Kreatif dan Kategori Fotografi.

Sebanyak 75 buah sekolah rendah menyertai peraduan tersebut dengan 550 penyertaan sementara 15 buah sekolah menengah, maktab dan Pra U juga turut menyertai peraduan ini dengan 85 penyertaan.

Peraduan pada dulunya dikenali sebagai Peraduan Seni lukis. Slot Kreatif dan Kraf tangan baru diperkenalkan pada tahun lepas dengan kurang 20 penyertaan, manakala pada tahun ini penyertaan bertambah dengan majoritinya dari peringkat rendah. Ini merupakan kali yang ke-43 ianya diadakan.

Matlamat peraduan adalah bagi mencungkil bakat baru di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Melalui peraduan ini, beberapa pelukis ternama tanah air dapat menghasilkan dan ada di antaranya memiliki galeri-galeri peribadi masing-masing.

Pameran diadakan selama empat hari iaitu bermula 8 hingga 11 November ini bertempat di Dewan Muhibbah bermula jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman)

0 comments:

Post a Comment