Oleh Mohamad Asyramisyanie
Bandar Seri Begawan (02/11/2010) - Pengumuman kenaikan duti eksais ke atas rokok dan tembakau berkuat kuasa hari ini telah menyebabkan beberapa buah kedai yang kehabisan stok rokok.
Tinjauan Media Permata ke beberapa kedai menjual rokok di sekitar Gadong hari ini mendapati pelbagai karenah pelanggan yang kecewa kerana tidak dapat membeli rokok kegemaran mereka.
Salah seorang pembeli di Gadong yang ingin dikenali sebagai Ham menjelaskan kedai itu adalah yang kedua dikunjunginya bagi mendapatkan rokok.
Beliau sedar dengan kenaikan harga rokok dan cuba mendapatkan stok untuknya sendiri sebelum harga rokok dinaikkan. Lagi pun beliau masih belum bekerja dan dengan kenaikan harga rokok bermakna beliau terpaksa mengurangkan sedikit dan cuba meminimumkan perbelanjaan rokok.
Apabila ditanya mengenai cara terbaik berhenti merokok, Ham berkata, meskipun harga rokok naik, perokok biasanya akan cuba mendapatkan stok melalui penjualan rokok yang jauh murah.
"Ia menyulitkan namun kami terpaksa akur," ujarnya kepada wartawan Media Permata sebelum beredar menuju ke kedai yang lain.
Kementerian Kewangan semalam mengumumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah memperkenankan pindaan ke atas duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk-produk tembakau melalui penguatkuasaan Perintah Duti Import Kastam (Pindaan) 2010 dan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2010.
Di bawah Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2010, kadar cukai eksais bagi komoditi rokok akan dikenakan cukai sebanyak 25 sen sebatang berbanding $60 sekilogram yang dikenakan pada masa ini.
Bagi "unmanufactured tobacco and tobacco refuce" kadar duti akan dinaikkan sekali ganda daripada $30 sekilo kepada $60 sekilo. Bagi lain-lain "manufactured tobacco," kadar duti akan dinaikkan daripada $35 sekilo (manufactured tobacco blended for cigarettes making - not finish products) dan $60 sekilo (blended for retail sale) kepada $120 sekilo.
Bagi "cigar, cheroots dan cigarillos" kadar duti akan dinaikkan sekali ganda daripada $60 sekilo kepada $120 sekilo dan daripada $100 sekilo kepada $200 sekilo.
Sementara itu Pindaan di bawah Jadual Kedua Perintah Duti Import Kastam (Pindaan) 2010 telah meniadakan keistimewaan konsesi bebas duti kepada penumpang-penumpang berumur 17 tahun ke atas yang membawa rokok yang tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas dan pintu-pintu masuk ke negara ini yang dibebaskan daripada membayar duti bagi jumlah rokok yang dibawa tidak melebihi 200 batang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, tujuan utama pindaan tersebut adalah sebagai usaha berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjaga kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, terutama dalam membantu mengurangkan risiko penyakit kronik yang berkaitan dengan rokok di negara ini.
Seorang lagi pembeli, Hussin yang bekerja dengan syarikat swasta bersetuju dengan pendapat Ham mengenai tabiat perokok tegar yang sukar membuang ketagihan mereka walaupun harga rokok dinaikkan.
"Berhenti merokok bukan suatu yang mudah tapi bukan bererti saya tidak menyokong kenaikan harga itu, saya akur dan rasa semua orang menurut kepada arahan terbaru itu.
"Jika boleh membeli rokok, saya juga sanggup berbelanja untuk membeli produk yang mampu menghentikan tabiat merokok," katanya sambil berazam untuk berhenti merokok selepas ini.
Seorang lagi pembeli yang ingin dikenali sebagai Johan menegaskan langkah itu (menaikkan duti eksais rokok dan tembakau) adalah bagus dan perlu disokong dan sewajarnya perokok diberikan waktu untuk menyesuaikan diri dengan langkah pindaan itu.
-- hak milik Media Permata



0 comments:
Post a Comment