Sunday, 14 November 2010

Sabah - Brunei Berkongsi Manfaat Dalam Bidang Pelancongan

Twitter Facebook More

Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman

Bandar Seri Begawan (06 November 2010) - Negara Brunei Darussalam begitu penting kepada Negeri Sabah kerana kedua-duanya banyak berkongsi sejarah dan hubungan sejak berabad-abad lamanya.


Pengerusi Perbadanan Pelancongan Sabah, Tengku Datuk Seri Zainal Adlin menyatakan perkara itu pada Perasmian Pesta Pelancongan Sabah Ke-4 berlangsung petang tadi di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian Pesta Pelancongan Sabah Ke-4, Ketua Pegawai Eksekutif Pelancongan Brunei, Sheikh Jamaluddin bin Sheikh Mohamed.

Menurut Tengku Datuk Seri Zainal Adlin, Sabah juga berharap untuk meneruskan perkongsian dengan Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai program ekopelancongan untuk memperkaya industri yang menguntungkan kedua buah negara di mana ekonomi global kini secara perlahan kembali pulih.

Tengku Datuk Seri Zainal Adlin juga menyarankan agar kedua-dua buah negara mengambil manfaat dari pesta pelancongan ini untuk bertukar pengalaman, idea dan pandangan tentang bagaimana produk-produk kita boleh menguntungkan kedua-dua destinasi.

Beliau menjelaskan, sehingga September tahun ini, kedatangan pengunjung Brunei ke Sabah mencapai rekod tertinggi iaitu 180 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan ini menunjukkan kadar lebih 6500 pengunjung yang datang pada setiap bulan.

Perasmian Pesta Pelancongan Ke-4 itu diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan Sabah dan pameran.

Pesta tiga hari yang akan berakhir pada 7 November ini mempelawa orang ramai berkunjung dan menempah tiket-tiket pernerbangan ke negeri di bawah bayu itu dengan potongan harga promosi yang murah.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment