Republik Arab Mesir (03 Nov 2010) - Sumbangan dan bantuan pihak Al-Azhar kepada Negara Brunei Darussalam dalam menyediakan tenaga manusia yang berkualiti sejak lima dekad yang lalu hingga kini dalam bidang keagamaan, perkembangan Islam dan pendidikan agama di Negara Brunei Darussalam turut menyumbang ke arah hubungan yang lebih erat kedua buah negara.
Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman ketika membuat kunjungan hormat kepada tokoh-tokoh termuka Republik Arab Mesir pada 24 Oktober hingga 2 November 2010.
Dalam kunjungan hormat tersebut Menteri Hal Ehwal Ugama dan rombongan juga berkesempatan membuat kunjungan hormat kepada beberapa tokoh termuka di negara tersebut iaitu Fadhilat Al-Imam Al-Akbar, Sheikh Al-Azhar, Profesor Dr. Ahmad Muhammad Al-Tayyeb.
Dalam kunjungan tersebut, Menteri Hal Ehwal Ugama telah menyatakan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya atas pelantikan Profesor Dr. Ahmad Muhammad Al-Tayyeb sebagai Sheikh Al-Azhar yang baru bagi menggantikan tempat Allahyarham Profesor Dr. Sayyid Muhammad Tantawi yang telah meninggal dunia di negara Arab Saudi beberapa bulan terdahulu.
Dalam kunjungan hormat tersebut kedua-dua mereka telah bersetuju untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dan akan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) sedikit masa lagi.
Dengan adanya MoU itu nanti, bukan sahaja penghantaran bagi memperolehi ilmu keagamaan dan bahasa Arab akan diteruskan sebagaimana telah berjalan dengan lancarnya selama ini, malah juga bidang-bidang kedoktoran perubatan dan saintifik yang dikendalikan oleh Al-Azhar juga akan dapat diteroka di masa hadapan.
Pada hari berikutnya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama telah membuat kunjung hormat kepada Rektor Universiti Al-Azhar yang baru, Profesor Dr. Abdullah Al-Husseiny.
Di majlis tersebut Tuan Yang Terutama Rektor Al-Azhar mengalu-alukan kunjungan Yang Berhormat dan menyatakan rasa bangga kerana lantikan Yang Berhormat sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama yang baru dan juga beberapa tokoh lain di Brunei lulusan Unversiti Al-Azhar menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan.
Dalam pada itu Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama juga berpeluang untuk membuat kunjung hormat kepada Yang Berhormat Profesor Dr. Mahmoud Hamdi Zaqzouk, Menteri Wakaf yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal masjid, khutbah, warisan sejarah Islam, dakwah islamiah, hal ehwal mengenai Al-Qur'an dan lain-lain.
Seterusnya pada hari Selasa, 26 Oktober 2010, kunjung hormat dilakukan kepada Yang Berhormat Profesor Dr. Hani Helal, Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik, yang bertanggungjawab ke atas semua pusat-pusat pengajian tinggi di Republik Arab Mesir.
Di kunjungan hormat tersebut satu perundingan telah dibuat dengan mengenai kemungkinan penghantaran pelajar dari sekolah Arab yang memegang sijil-sijil 'O' dan 'A' level untuk mengikuti program-program perubatan, sains dan sebagainya. Kedua-dua menteri juga akan berusaha untuk menandatangani satu MoU dalam masa yang terdekat.
Yang Berhormat dan rombongan juga turut membuat lawatan ke beberapa institusi yang berkait dengan Al-Qur'an, pendidikan agama/Arab, pengajaran bahasa Arab, dan lain-lainya, termasuk berkesempatan mengadakan perjumpaan dengan pelajar-pelajar dermasiswa dan pegawai-pegawai Latihan Dalam Perkhidmatan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, meninjau sebahagian tempat kediaman mereka, aktiviti mereka, kehidupan mereka, kemajuan akademik dan keselesaan.
Selain daripada itu, atas kehendak pihak Al-Azhar satu Majlis Penandatanganan Pembaharuan Perjanjian bagi pengkitirafan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan kerjasama kurikulum di antara Mudir 'Am Lilwafidin, Al-Azhar dengan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah dilakukan pada 31 Oktober 2010.
Pembaharuan perjanjian pengiktirafan sijil tersebut adalah bagi kesinambungan penerimaan yang berterusan bagi pelajar-pelajar lulusan STPUB terus masuk ke tahun satu di Universiti Al-Azhar.
Pada umumnya warga Brunei yang berada di sana adalah dalam keadaan baik, dan pencapaian akademik mereka juga turut membanggakan.
Turut serta dalam rombongan Menteri Hal Ehwal Ugama ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Ismail bin Haji Abdul Manap, Pengarah Institut Tahfiz Al-Quran, Ketua Bahagian Peperiksaan dan Ketua Bahagian Kurikulum Jabatan Pengajian Islam, Timbalan Pengetua Sekolah Arab dan pegawai-pegawai di KHEU.
Rombongan juga disertai oleh pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Mesir.
-- hak milik Pelita Brunei
Friday, 12 November 2010
Sumbangan Al-Azhar Menyediakan Tenaga Berkualiti Menyumbang Hubungan Erat Kedua Negara
Posted by Neo Minda on 13:46


0 comments:
Post a Comment