Sunday, 31 October 2010

38 Murid SAB Lawat Jabatan Mufti Darul Ifta

Twitter Facebook More

Oleh Hajah Saemah Zulkefli

Kuala Belait (29/10/2010) - Seramai 38 orang murid Tahun 6 Sekolah Arab Belait (SAB) mengadakan lawatan ke Jabatan Mufti Darul Ifta di Bandar Seri Begawan hari ini.


Lawatan tersebut antara lain bertujuan menambah pengetahuan dan pengalaman kepada murid-murid tersebut, terutama sekali untuk mengetahui fungsi dan peranan Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam melalui taklimat yang diberikan dan pameran yang disaksikan.Rombongan murid-murid turut disertai oleh seramai empat orang guru diketuai Guru Besar Sekolah Arab Belait (SAB), Dayang Rohani Haji Moksin.

Lawatan tersebut dimulakan dengan mendengarkan taklimat mengenai sejarah awal wujudnya Jabatan Mufti di negara ini selain turut diterangkan mengenai pelantikan mufti yang pertama dan yang kedua.

Selain itu murid-murid juga diberikan taklimat mengenai fungsi dan peranan jabatan tersebut kepada orang ramai, seterusnya murid-murid juga turut disediakan dengan aktiviti lawatan menjawab soalan kuiz dan diberikan hadiah bagi mereka yang menjawab dengan betul.

Menurut Guru Besar SAB Dayang Rohani, murid-murid juga berpeluang menyaksikan pameran di bilik pameran jabatan tersebut antaranya mushaf-mushaf lama yang berusia sehingga 1,000 tahun, di samping pameran tongkat-tongkat yang antaranya dibuat daripada tulang ikan Yu dan gading Gajah.

Selain itu turut terdapat di bilik pameran ialah manuskrip-manuskrip lama, tasbih-tasbih daripada pelbagai bentuk dengan salah satu tasbih tersebut di dalamnya terdapat beberapa ekor semut dan ayat-ayat al-Quran yang ditulis di atas batu mar-mar.

Rombongan pelawat juga turut berpeluang membeli buku-buku yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti untuk bahan bacaan murid-murid bagi menambahkan lagi pengetahuan dan ilmu kepada mereka tentang hukum hakam terkandung di dalamnya.Di akhir lawatan rombongan murid-murid dan guru-guru mereka merakamkan gambar kenangan beramai-ramai di hadapan bangunan jabatan tersebut.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment