Sunday, 31 October 2010

Baginda Sultan Berkenan Menerima Mengadap PM Vietnam

Twitter Facebook More

Daripada Sim Y.H


Hanoi (29/10/2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung di Bangunan Pejabat Kerajaan, Hanoi, Vietnam.


Baginda Sultan dan Perdana Menteri Vietnam bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Vietnam.

Hadir sama di Majlis berkenaan ialah Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim, Menteri Kewangan Kedua di Jabatan Perdana Menteri; Pehin Dato Seri Setia Lim Jock Seng, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua dan Dato Paduka Haji Mahadi Haji Wasli, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Vietnam dan pegawai-pegawai kanan yang lain.

Pada sebelah tengah hari, Baginda Sultan berkenan untuk menghadiri majlis jamuan tengah hari Ketua-ketua Negara ASEAN bersama Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) yang berlangsung di Pusat Persidangan Kebangsaan, Hanoi.

Di majlis berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama ketua-ketua Negara ASEAN yang lain membincangkan laporan daripada Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN mengenai cara-cara sektor swasta dapat memberikan sumbangan kepada Integrasi Ekonomi ASEAN, cadangan dan perkembangan kegiatan majlis tersebut.

Hadir di Majlis tersebut adalah Ketua-ketua Negara ASEAN, dan para Pemimpin Perniagaan ASEAN. Juga hadir sama adalah Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim dan Pehin Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

Setelah itu, Baginda Sultan berkenan menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke 17 yang diadakan di Pusat Persidangan Kebangsaan Hanoi yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Nguyen Tan Dung, selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke 17.

Hadir sama adalah Ketua-ketua Negara ASEAN, para pembesar-pembesar Negara dan delegasi Negara-Negara ASEAN. Hadir sama di majlis tersebut ialah Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim dan Pehin Dato Seri Setia Lim Jock Seng serta delegasi daripada Negara Brunei Darussalam.

Seterusnya pada sebelah petang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menghadiri "ASEAN Leaders' Retreat" di Pusat Persidangan Kebangsaan Hanoi. Baginda serta Ketua-ketua Negara ASEAN yang lain bertukar-tukar pandangan mengenai isu yang berkaitan dengan pembangunan Komuniti ASEAN.

Pada sesi tersebut, Baginda Sultan telah bertitah menyentuh cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ASEAN dalam usaha-usaha untuk membangun Komuniti ASEAN dan perlunya ASEAN untuk menangani cabaran-cabaran berkenaan.

Ini termasuk keperluan untuk menumpukan semula usaha bagi membentuk strategi yang efektif dalam menangani rakan-rakan kongsi ASEAN. Baginda juga menekankan perlu adanya kemahuan politik yang kuat dalam ASEAN untuk mempengaruhi hala tuju ekonomi di rantau ini dan juga antarabangsa.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyentuh mengenai Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN ('ASEAN Connectivity Master Plan') dan menegaskan perlu ada penyelarasan yang menyeluruh di peringkat nasional dan serantau untuk memastikan semua yang berkepentingan akan membuat usaha untuk melaksanakan Pelan Induk tersebut secara efektif.

Baginda Sultan mengalu-alukan cadangan untuk mencari sumber baru dan idea inovatif untuk mengerahkan sumber dan kepakaran, terutama sekali melalui hubungan kerjasama sektor awam dan swasta.Turut hadir di majlis tersebut ialah Pehin Dato Seri Seria Lim Jock Seng.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment