Sunday, 31 October 2010

Penerima Anak Kunci Rumah Menjunjung Kasih Ke Hadapan Majlis Kebawah DYMM

Twitter Facebook More

Oleh : Nooratini Hj. Abas

Mukim Pengkalan Batu (30/10/2010) - Para penerima anak kunci di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lumapas 'A' menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas pengurniaan anak-anak kunci rumah-rumah bagi STKRJ Kampung Lumapas 'A' dan kampung Mata-Mata (Katok 'B') Gadong pada 26 Oktober lepas.


Dalam temu bual bersama wakil PELITA BRUNEI bersama beberapa orang penerima melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas pengurniaan tersebut yang telah memberikan taraf kehidupan yang lebih selesa.

Bagi Dayang Mariani binti Mohamamed, 46, yang menerima rumah STKRJ kelas 'E' ibu kepada enam orang anak sebelum ini tinggal di rumah ibunya di Kampung Sungai Kebun.

"Saya menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pemberian rumah untuk kami sekeluarga untuk berteduh," jelas Dayang Mariani.

Sementara itu, Dayang Damit binti Haji Metusin, 54, pula merasa amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan rumah dan berdoa semoga Allah melanjutkan usia baginda.

Salah seorang kakitangan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Awang Zulkeplee bin Haji Mohd. Jais, 44, turut menjunjung kasih kepada raja yang dikasihi di atas pengurniaan rumah dan melahirkan kegembiraan kerana dapat menatap wajah baginda dengan secara lebih dekat lagi.

"Keprihatinan baginda sebagai seorang raja jelas terbukti dengan adanya pengurniaan rumah demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat di negara ini," tambah beliau lagi.

Manakala, bagi warga emas yang berusia 70 tahun menitiskan air mata kegembiraan setelah terpilih sebagai salah seorang penerima pengurniaan tersebut dan dapat meneruskan sisa-sisa hidup dengan lebih selesa.

"Hanya Allah Subhanahu Wata'ala sahaja yang dapat membalas budi baik dan keprihatinan yang diberikan kepada kami sekeluarga," kata Dayang Maisalamah binti Ibrahim.

Awang Rosli bin Haji Timbang, 43, juga sangat teruja dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke STKRJ Lumapas dan turut menjunjung kasih atas pengurniaan rumah buat dirinya sekeluarga.

"Kehidupan kami terjamin dengan adanya mempunyai rumah sendiri di samping dapat melakukan aktiviti atau riadah di luar rumah bersama keluarga," ujarnya.

Salah seorang bekas anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang telah bersara, berusia 50 tahun dan mempunyai sebelas orang anak tidak ketinggalan untuk menjunjung kasih atas pengurniaan ini dan melahirkan rasa gembira dan syukur kepada Yang Maha Esa kerana mempunyai seorang raja yang prihatin.

"Saya amat berterima kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memberi kemudahan rumah rakyat jati kepada kami sekeluarga dan semoga Allah melanjutkan usia baginda," kata Awang Lamit bin Md. Tudin.

-- Hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment