Oleh Imelda Farrah Zohre HA
Bandar Seri Begawan (27/10/2010) - Pesta Percutian Perjalanan Abacus (Abacus Holiday Travel Fair) yang dinanti-nantikan kini kembali lagi dengan pesta dua hari menawarkan promosi perjalanan dan percutian untuk mereka yang ingin mencari percutian impian mereka.
Dianjurkan oleh Abacus Distribution System (Brunei) Sdn Bhd, pesta berkenaan akan berlangsung di Tingkat 4, Dewan Sutera, Hotel Antarabangsa Rizqun pada 30 dan 31 Oktober 2010 bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam.
Pengurus Am Abacus, Irene Soon berkata, "Kami mengharapkan beribu-ribu orang yang mencari percutian impian mereka akan mengunjungi pesta itu nanti".
Oleh sebab pengunjung tahun lalu yang begitu banyak, beliau sangat positif bahawa tahun ini akan memecahkan rekod dengan peningkatan 45 peratus dalam penempahan berbanding tahun lalu, jelasnya semasa sidang akhbar yang berlangsung, hari ini.
Beliau menambah kata dengan sokongan dari rakan kongsi dan agensi perjalanan, beliau yakin akan menyaksikan peningkatan positif tahun ini dan berharap ia akan dihasilkan dengan pencapaian lebih baik.
Selain itu, Pengurus Jualan dan Pemasaran, Abacus Brunei, Abd Halim Haji Abd Rahman menjelaskan sebanyak 21 pondok disediakan tahun ini berbanding tahun lalu yang hanya menyediakan 17 pondok untuk pesta itu.
Antara yang mengikuti pesta berkenaan ialah Abacus, Jabatan Pembangunan Pelancongan Brunei, Penerbangan Diraja Brunei, Katering Diraja Brunei, Bank Baiduri Berhad, Takaful IBB Berhad, Telekom Brunei Berhad, Pelancongan Malaysia dan Penguasaan Pelancongan Thai serta sembilan lagi agensi pelancongan yang berada di Brunei yang bersatu dengan lebih 25 penggalan Abacus.
Menurut Abd Halim lagi, "Ini akan membantu perkhidmatan agensi pelancongan secara efisien. Para peserta pameran akan menyediakan produk dan perkhidmatan berkaitan dengan percutian seperti tambang perjalanan, perjalanan domestik, pakej hotel, pakej haji dan umrah dan perubatan pelancongan dan kami berharap kami akan menerima lebih banyak pengunjung berbanding tahun lalu".
Pengurus Jualan Penerbangan Diraja Brunei (RBA), Evelyn Ang pula menjelaskan lebih banyak tawaran disediakan. Bermula 29 Mac 2011 RBA akan menyenaraikan sebahagian tawaran istimewa bagi penerbangan ke Melbourne dan Istimewa Krismas ke London serta penerbangan ke Manila dan Kuala Lumpur pada November. Selain dari tawaran istimewa dan penempahan awal, peluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik seperti tiket penerbangan ke London, Melbourne dan Shanghai juga disediakan.
"Sebanyak dua aktiviti utama disediakan. Bagi mereka yang membuat pembayaran penuh untuk tempahan dan pelanggan yang membuat pembayaran pendahuluan akan berpeluang menyertai 'Spin the Wheel' dan 'Lucky Dip' termasuk baucar hotel dan makan malam serta lebih satu juta Royal Skies miles akan diberikan", jelas wakil dari RBA, Josephine.
Salah satu fokus utama bagi pesta percutian dan pelancongan itu ialah untuk mempromosikan Kenali Negara Kitani (KNK) dan penyertaan Pelancongan Brunei memainkan peranan penting dalam menyokong RBA serta agensi pelancongan untuk membantu mempromosikan pelancongan domestik. Pesta pelancongan itu juga menyediakan peluang terbaik untuk para pelancong Brunei untuk membeli pakej antarabangsa dan tempatan.
Sekretariat Majlis Perundingan Kampung Sungai Matan, Pengiran Azmanishah Pengiran Haji Abd Rahman juga selaku wakil Syarikat Kumpulan Sunshine seterusnya menjelaskan bahawa beberapa promosi KNK ditawarkan untuk meningkatkan pelancongan tempatan seperti penyertaan Ulu Ulu National Park Resort di Daerah Temburong, Sukan Air Dolphin dan Pakej Tempat Tinggal Matan.
"Dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Jabatan Pelancongan, Jabatan Daerah dan Majlis Perundingan Kampung Sungai Matan, kami berharap pesta pelancongan akan memberikan kebaikan perniagaan pelancongan", jelas Pengiran Azmanishah.
Persembahan istimewa "Kuda Kepang" dari kumpulan kebudayaan Johor, Malaysia yang dibawakan oleh Pelancongan Malaysia juga akan diadakan pada pukul 1.30 petang, 5 petang dan 8 malam di sepanjang dua hari pesta berlangsung, jelas wakil Pelancongan Malaysia, Jamilah.
Takaful IBB Berhad pula menjelaskan penyertaannya pesta itu bagi mempromosikan kesedaran perlindungan dan insurans perjalanan kepada masyarakat yang masih ramai belum mengetahuinya, jelas Pengurus Pemasaran Takaful IBB Berhad, Azrin.
Promosi Istimewa dari Bank Baiduri Berhad dan American Express juga ditawarkan dengan para pelanggan yang membeli barangan menggunakan kad kredit American Express semasa pesta itu akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti 16GB Apple iPad.
-- hak milik Media Permata
Wednesday, 27 October 2010
Pesta Percutian Perjalanan Abacus Bakal 'Pecah Rekod'
Posted by Neo Minda on 15:49
0 comments:
Post a Comment