Oleh : Haniza Abdul Latif
Bandar Seri Begawan (30/10/2010) - Untuk menjamin ketahanan Melayu Islam Beraja (MIB) dan mempertahankan identiti kebruneian, rakyat Brunei perlu meningkatkan pengetahuan mengenai budaya dan sejarah Brunei serta sistem beraja.
Dengan mempelajari MIB sekurang-kurangnya dapat membantu dalam mengenal pasti siapa diri kita, negara, adat Brunei, raja dan agama dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan gejala-gejala sosial yang berlaku pada masa ini.
Pengarah Balai Kenangan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Dato Paduka Awang Haji Abdul Latif bin Haji Ibrahim menyatakan perkara tersebut semasa pelancaran Pameran Budaya Material Brunei di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) di ibu negara.
Beliau menjelaskan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) khususnya Akademi Pengajian Brunei patut mengambil inisiatif dalam memperkenalkan kursus mengenai pemikiran Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam.
Ini kerana katanya, Al-Marhum bukan sahaja dilihat sebagai 'Arkitek Brunei Moden' tetapi juga sebagai penyelamat bangsa Brunei dan banyak berjasa sehingga merintis dan menjadikan Negara Brunei Darussalam kepada keadaan kesejahteraan yang ada sekarang ini.
Pameran yang bertema Khazanah Warisan Budaya Brunei Darussalam merupakan projek bagi mahasiswa dan mahasiswi UBD dan merupakan salah satu latihan untuk mengaplikasikan pengetahuan dan teori yang telah mereka pelajari.
Antara tujuan pameran ini diadakan adalah bagi menyediakan pelajar dalam pengetahuan, keahiran dan nilai profesional yang berkaitan dengan kajian Budaya Material Brunei.
Manakala objektifnya ialah bagi mengongsikan hasil kajian mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti kursus ini untuk didedahkan kepada masyarakat dan kepentingan mengenai beberapa budaya material yang dihasilkan dan digunakan oleh masyarakat Brunei sendiri.
Pameran yang diadakan selama tiga hari iaitu bermula 29 hingga 31 Oktober, berlangsung di Kompleks YSHHB.
-- Hak milik Pelita Brunei
Sunday, 31 October 2010
Rakyat Diseru Tingkatkan Pengetahuan Budaya, Sejarah Brunei Dan Sistem Beraja
Posted by Neo Minda on 13:43
0 comments:
Post a Comment