Laporan : Dk. Hjh. Fatimah Pg. Hj. Md. Noor dari Hanoi, Viet Nam
Hanoi, Viet Nam (30/10/2010) - Strategi Pertumbuhan Baru yang dilaksanakan oleh Jepun akan meningkatkan kerjasama dengan rakan-rakan negara Asia, termasuk ASEAN, melalui peningkatan hubungan kerjasama di bidang ekonomi kerana Jepun adalah rakan perdagangan penting kepada ASEAN dan juga pelaburan Jepun di ASEAN masih mantap.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berharap hubungan ekonomi itu akan terus bertambah dengan pelaksanaan penuh Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun (ASEAN - Japan Comprehensive Economic Partnership - AJCEP) khususnya dengan bermulanya perundingan-perundingan mengenai bidang perkhidmatan dan pelaburan.
Bertitah semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun Ke-13, yang diadakan di Pusat Persidangan Kebangsaan (NCC) Ha Noi, di sini, baginda melahirkan rasa sukacita dengan kemajuan hubungan ASEAN-Jepun termasuk di bidang kerjasama keselamatan, jenayah merentas sempadan, keselamatan maritim, dan pencegahan keganasan, dan mengalu-alukan sokongan berterusan daripada Jepun.
Baginda berkenan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun Ke-13 bersama Ketua- ketua Negara ASEAN dan Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Naoto dan bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan kerjasama antara ASEAN dan Jepun.
Dalam titah itu, baginda juga mengalu-alukan peranan kepimpinan yang dimainkan oleh negara Matahari Terbit di bidang tenaga, terutama sekali dalam mewujudkan masyarakat rendah karbon. Ini adalah sejajar dengan objektif Kenyataan Mengenai Tindak Balas Bersama Perubahan Iklim yang telah dikeluarkan oleh ASEAN pada tahun lepas.
Dalam konteks ini, baginda Mulia berharap ASEAN dan Jepun akan terus bekerjasama dalam menggalakkan penyelidikan dan pendidikan dalam bidang tersebut.
Baginda juga menghargai sumbangan Jepun dalam pelaksanaan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN (Master Plan on ASEAN Connectivity). Ini akan melengkapkan lagi kerja-kerja yang dibuat oleh ASEAN dalam bidang pengangkutan dan telekomunikasi, dan juga kerjasama Jepun di kawasan pembangunan pinggir serantau di Asia Tenggara seperti BIMP-EAGA.
Dalam meningkatkan hubungan di antara penduduk, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan sukacita terhadap beberapa inisiatif yang telah diusahakan untuk mengiatkan pertukaran kerjasama seperti ‘Program Rangkaian Pertukaran Jepun-Asia Timur bagi Penuntut dan Belia’ dan program Kapal Belia.
Bagiinda juga menyarankan pertukaran sedemikian akan dapat diperluaskan kepada kalangan pegawai diplomat muda dan pegawai-pegawai perdagangan. Inisiatif-inisiatif sedemikian adalah penting dalam mengukuhkan hubungan kerjasama ASEAN-Jepun.
Dalam kerjasama masa depan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyarankan forum tersebut untuk mempertimbangkan pelaksaan cadangan-cadangan Kumpulan Eminent Persons ASEAN-Jepun dalam bentuk satu pelan tindakan baru dalam kerjasama ASEAN-Jepun. Ini akan membantu memastikan kerjasama masa depan akan terus menjadi relevan kepada kedua-dua penduduk ASEAN dan Jepun.
-- Hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment