Oleh Mohammad Abdullah
Bandar Sari Begawan (02/11/2010) - Pihak pentadbiran Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien telah mengumumkan bahawa Hari Keusahawanan Maktab SOAS akan diadakan pada Ahad 7 November ini.
Timbalan pengetua Maktab SOAS, Haji Roslan Haji Hassan berkata, acara yang sepatutnya diadakan pada 31 Oktober lalu terpaksa ditunda kerana beberapa sebab termasuk kerana terlalu banyak acara lain diadakan di tempat-tempat lain seluruh negara pada hari yang sama.
Hari Keusahawanan Maktab SOAS akan diadakan di perkarangan maktab itu bermula pada pukul 8.00 pagi dan antara tujuannya adalah untuk mendedahkan penuntut mengenai keusahawanan dan meningkatkan lagi kemahiran perniagaan mereka serta mengumpul dana maktab bagi projek-projek yang ada.
Katanya, dana yang diperoleh daripada Hari Keusahawanan tersebut akan disalurkan semula kepada program-program penuntut seperti kraf tangan, projek pra vokasional seperti 'kafe' dan projek perikanan. Sebanyak 15 peratus daripada hasil sewa petak akan disumbangkan kepada Persatuan KACA.
Hari Keusahawanan Maktab SOAS dianjurkan bersama oleh pihak Maktab SOAS dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG).
Haji Roslan menjelaskan pada hari tersebut, rumah panjang Kampung Mendaram Labi 2 Kuala Belait dan juga Jabatan Penjara akan menonjolkan hasil kraf tangan mereka.
Malah Jabatan Alam Sekitar dan Rekreasi (JASTRE) juga akan mempromosikan kempen kesedaran penggunaan beg guna kitar semula (recycle), dan pengurangan penggunaan beg plastik.
Beliau juga mengalu-alukan orang ramai bagi menyaksikan Hari Keusahawanan Maktab SOAS yang mana beberapa aktiviti akan dijalankan seperti peraduan mewarna dan peraduan "I Want to be a DJ" (Saya mahu jadi seorang DJ).
-- Hak milik Media Permata
Wednesday, 3 November 2010
Hari Keusahawanan Maktab SOAS Pada 7 November
Posted by Neo Minda on 15:24
0 comments:
Post a Comment