Laporan : Dk. Hjh. Fatimah Pg. Hj. Md. Noor dari Ha Noi, Viet Nam
Hanoi, Viet Nam (31/10/2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat untuk menghadiri Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN Ke-17 bersama para pemimpin ASEAN yang lain.
Majlis tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri Viet Nam, Tuan Yang Terutama Nguyen Tan Dun, di Pusat Persidangan Kebangsaan, Ha Noi. Turut berucap di majlis berkenaan ialah Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Susilo Bambang Yudhoyono, sebagai Pengerusi ASEAN yang akan datang dan hos kepada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-18.
Sidang kemuncak kali ini sekali lagi menghimpunkan Ketua Kerajaan ASEAN untuk bertukar-tukar fikiran mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan ASEAN seperti kesalinghubungan ASEAN, pemulihan dan pembangunan keselamatan makanan dan tenaga, perubahan iklim, bantuan bencana, penyakit berjangkit dan arkitektur serantau.
Dalam sidang ini terpenting adalah penyertaan Amerika Syarikat dan Rusia sebagai rakan rasmi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang diterajui ASEAN, pelan induk mengenai kesalinghubungan ASEAN.
Di samping itu Ketua-ketua Kerajaan ASEAN turut menerima tiga dokumen iaitu Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN, Kenyataan Pemimpin ASEAN Mengenai Pembangunan Sumber Manusia dan Kemahiran Untuk Pemulihan Ekonomi dan Pembangunan Mapan serta Deklarasi Hanoi Mengenai Meningkatkan Pembangunan Kebajikan Wanita dan Kanak-kanak ASEAN.
-- Hak milik Pelita Brunei
Monday, 1 November 2010
Indonesia Hos Sidang Kemuncak ASEAN Ke-18
Posted by Neo Minda on 12:40
0 comments:
Post a Comment