Oleh : Abdullah Asgar
Bandar Seri Begawan (03 Nov 2010) - Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) kini melaksanakan langkah strategik untuk menjadikan jabatan itu sebagai 'Pusat Perkhidmatan Setempat' dengan menyediakan prasarana sistem kaunter berautomasi dan mudah.
Ke arah menjadikan strategi tersebut menjadi kenyataan, pagi tadi jabatan tersebut telah Menandatangani Perjanjian Pembayaran Bil Telefon dan Penyewaan Motorsikal Bagi Jabatan Pos bertempat di Pejabat Pos Cawangan Seri Kompleks Jalan Tutong.
Menandatangani Perjanjian Pembayaran Bil Telefon TelBru, ialah Pemangku Ketua Pos Agung, Awang Haji Mohammad Manan bin Haji Lakim dan mewakili Syarikat TelBru Berhad ialah Pemangku Pengarah Urusannya, Dayang Hajah Norliha binti Haji Abu Bakar.
Bagi menandatangani Perjanjian Penyewaan Motorsikal juga ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pos Agung dan mewakili Syarikat Sharif Auto Services Sendirian Berhad ialah Pengarah Operasinya, Jeffery Yong.
Penandatanganan perjanjian tersebut disaksikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Dato Paduka Awang Haji Alaihuddin.
Melalui kedua-dua perjanjian itu Pejabat Pos dapat mengorak langkah setapak untuk memenuhi permintaan dan keperluan para pelanggan dan orang ramai dan akan terus bersedia menjalin kerjasama dengan pihak kerajaan dan swasta ke arah memberikan faedah yang positif kepada semua pihak.
Terdahulu sebelum itu Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan telah merasmikan pembukaan semula bangunan Cawangan Pos Seri Kompleks setelah selesai kerja-kerja pengubahsuaian selama enam bulan yang kini lebih selesa dan ramah pelanggan.
Dengan termeterainya Perjanjian Pembayaran Bil Telefon TelBru itu orang ramai kini boleh membayar bil-bil telefon TelBru di semua kaunter pos selain dari menyediakan beberapa perkhidmatan lain yang berkaitan manakala Perjanjian Penyewaan Motorsikal, pihak Sharif Auto Services Sendirian Berhad telah menyewakan 20 unit motorsikal bagi kegunaan para posmen menjalankan tugas mereka.
Di masa-masa mendatang jumlah motorsikal akan terus ditambah secara berperingkat untuk digunakan oleh cawangan-cawangan pos yang lain. Dalam pada itu, kemudahan lain seperti kenderaan van dan kenderaan kontena pos juga akan dilaratkan.
Sehingga kini JPP mempelawa agensi kerajaan yang lain bersama pihak swasta memberikan perkhidmatan kepada para pelanggan masing-masing melalui rangkaian kaunter yang disediakan oleh JPP.
Menurut Pemangku Ketua Pos Agung, Awang Haji Mohammad Manan, kedua-kedua perjanjian itu merupakan satu lagi langkah ke hadapan yang telah dicapai oleh jabatannya dalam usahan untuk mengembangkan peniagaan pos ke arah memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.
Antara yang hadir menyaksikan kedua-dua majlis itu termasuklah pegawai kanan dari beberapa buah jabatan di bawah Kementerian Perhubungan.
-- hak milik Pelita Brunei
Friday, 12 November 2010
Jabatan Perkhidmatan Pos Laksanakan Strategik 'Pusat Perkhidmatan Setempat'
Posted by Neo Minda on 13:44
0 comments:
Post a Comment