Tuesday, 16 November 2010

Kebajikan Wanita Sentiasa Diambil Perhatian

Twitter Facebook More

Pekan Bangar (08 November 2010) - Sifat pemedulian yang ditunjukkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam kepada ibu-ibu tunggal menggambarkan keprihatinan baginda yang sangat mendalam kepada hal ehwal kebajikan golongan sedemikian.


Bagi penduduk dan rakyat di negara ini terutama golongan ibu tunggal yang bermastautin di daerah ini juga tidak melupakan di atas penganugerahan kurnia peribadi baginda kapada 58 orang ibu tunggal dan 165 anak damit.

Dalam temu bual bersama wakil PELITA BRUNEI beberapa orang penerima dari golongan ibu tunggal melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas pengurniaan tersebut yang berlangsung di Dewan Belalong, Pekan Bangar, Temburong.

Seorang penerima yang bergelar ibu tunggal selama 30 tahun, Dayang Hajah Banun binti Bungsu, 78, yang menetap di sini yang merupakan ibu tunggal kepada sembilan orang anak yang mana tiga daripadanya masih di bawah tanggungannya melahirkan rasa bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala di atas penganugerahan peribadi Kebawah DYMM Baginda Raja Isteri.

Beliau dengan rasa terharu menjujung kasih ke hadapan majlis baginda dan kerabat diraja sambil mendoakan semoga baginda sentiasa di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan sihat sejahtera.

Bagi Dayang Hajah Banun pula, beliau berharap dengan adanya pengurniaan tersebut akan dapat menampung perbelanjaan keperluan setiap hari yang mana pada masa ini beliau menerima pencen tua dan bantuan kebajikan selama 20 tahun di bawah Jabatan Pembangunan Masayarakat (JAPEM).

Sementara itu, Dayang Rikan binti Sibee, 74, yang mempunyai enam orang anak, menetap di Kampung Barek Lama, Kerangan, Temburong bergelar ibu tunggal selama 40 tahun berkata beliau dengan rasa gembira di atas keprihatinan Kebawah DYMM Raja Isteri kepada ibu-ibu tunggal di negara ini.

Beliau juga menerima bantuan selama 30 tahun di bawah JAPEM.

“Saya bersyukur di atas rezeki yang diberikan dan tidak menyangka terpilih untuk menerima anugerah tersebut serta dengan adanya anugerah tersebut, saya akan menggunakan bagi keperluan masa depan anak-anak saya yang mana dua orang daripadanya masih belum bersekolah,” jelas Dayang Ribka binti Lankub, 31, yang bertugas sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta.

Beliau mempunyai tiga orang anak dan kini menetap di Kampung Parit Perpindahan Temburong.

Beliau bergelar ibu tunggal selama tiga tahun dan menerima bantuan dari JAPEM selama lima tahun bagi perbelanjaan anak-anak beliau.

-- hak milik Pelita Brunei


(Saerah Hj. Abd. Ghani & Mas’Ayu Perwira Asgar Hj. Abdullah)

0 comments:

Post a Comment