Friday, 12 November 2010

Kerjasama KKBS Dan Persatuan Sukan Penting Kenal Pasti Atlet Berpotensi

Twitter Facebook More

Oleh : Abu Bakar Hj. Abdul Rahman

Bandar Seri Begawan (03 Nov 2010) - Kerjasama di antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan persatuan-persatuan sukan yang merupakan sebagai 'stakeholders' utama adalah sangat penting untuk memajukan sukan di negara ini terutama sekali dalam mengenal pasti atlet-atlet yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan bagi mewakili negara ke kejohanan serantau dan antarabangsa.


Ini memandangkan persatuan-persatuan sukan adalah diibaratkan sebagai gudang atau kilang untuk melahirkan atlet-atlet muda yang berpotensi.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menyatakan perkara tersebut semasa perjumpaan bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan di negara ini yang diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Menurut Yang Berhormat, untuk menyediakan atlet-atlet memerlukan beberapa perkara untuk ditangani umpamanya program latihan panjang yang bersistematik dan saintifik, kebajikan atlet yang dipeduli serta program pendedahan yang berkualiti di luar negeri.

Yang Berhormat menambah, menyediakan perancangan strategik ke arah kecemerlangan sukan adalah kunci utama di samping penggunaan pusat perubatan dan penyelidikan sukan juga perlu dipertingkatkan secara maksima kerana kaedah sains sukan boleh membantu meningkatkan lagi prestasi atlet ke tahap yang lebih tinggi.

Untuk menghasilkan atlet yang cemerlang jelas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, ia memerlukan tiga konsep yang teras iaitu 'athlete centered', 'coach driven' dan 'knowlwdge based' atau 'science based support'.

Dalam hubungan ini Yang Berhormat menegaskan, persatuan-persatuan sukan perlu bekerja rapat dengan jurulatih-jurulatih sukan bagi sama-sama membincangkan serta merancang program latihan bagi atlet-atleit negara.

Dalam masa yang sama Yang Berhormat juga menyarankan agar persatuan-persatuan sukan di negara ini bersepadu dan

menggembleng tenaga bersama-sama dengan kementeriannya untuk menyemai dan menerapkan nilai-nilai sukan di kalangan rakyat dan penduduk khususnya kaum belia serta penuntut-penuntut di negara ini.

Dalam usaha untuk menghasilkan atlet-atlet yang cemerlang sekali gus akan mengharumkan nama negara, Yang Berhormat menerangkan bahawa nilai-nilai yang disumbangkan oleh sukan kepada pembangunan dan perpaduan negara dan serantau dapat dilihat umpamanya dari aspek-aspek seperti sukan dapat membina keyakinan diri dan semangat persaingan yang jitu serta sihat di kalangan remaja melalui semangat 'fair competition'.

Selain itu jelas Yang Berhormat, sukan juga dapat merangsang dan mendorong para belia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjauhi diri mereka dari merokok dan seterusnya menghindarkan dari penyakit-penyakit kronik yang dapat dicegah.

Perjumpaan yang merupakan siri kedua pada tahun ini antara lain bertujuan untuk sama-sama membincangkan dan bermuzakarah tentang bagaimana mereka dapat mengangkat dan mempergiatkan aktiviti-aktiviti dan memupuk minat sukan di negara ini khususnya di kalangan belia dan penuntut sekolah di seluruh negara.

Melalui perjumpaan seumpama itu akan dapat mencungkil dan mengasuh bakat baru yang akan dijadikan sebagai pelapis untuk mewakili negara dipertandingan sukan-sukan serantau dan antarabangsa yang mana pemilihan atlet-atlet berbakat tidak tertumpu kepada Daerah Brunei dan Muara tetapi termasuk Daerah Belait, Tutong dan Temburong.

Turut hadir pada perjumpaan tersebut ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment