Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman
Tungku (31/10/2010) - Timbalan Menteri, di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abd. Wahab bin Juned berkata, berasaskan penemuan di dalam kajian penilaian kemajuan Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) yang dilakukan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA), beberapa penemuan menunjukkan bahawa tahap penerimaan dan pembudayaan KKC dalam Perkhidmatan Awam masih di tahap rendah.
Di antara sebab-sebab utama yang menyebabkan kedudukan tersebut katanya ialah, sikap dan pendirian setengah kumpulan pengurusan yang kurang atau tidak memberikan komitmen untuk memudahkan penggunaan kaedah KKC.
Dato Paduka juga menjelaskan terdapat pihak pengurusan yang cakap tidak serupa bikin dalam mana, sementara mengakui peranan pekerja bawahan mereka tidak terbuka untuk mendengar dan mengambil kira pandangan dan usaha pembaikan pekerja bawahan ini.
"Kajian juga menunjukkan terdapat sebilangan pegawai dan kakitangan yang bersifat hambar dan tidak berminat untuk berusaha memperbaiki kualiti kerja. Mereka beranggapan kaedah pengurusan seperti KKC adalah membebankan dan tidak perlu," terangnya semasa berucap di Majlis Penutup Konvensyen KKC Peringkat Kebangsaan Ke-13, 2010 di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam.
Seterusnya Dato Paduka menyatakan, dapatan atau hasil kajian tersebut menunjukkan yang pembudayaan KKC masih menghadapi banyak rintangan daripada pihak pengurusan itu sendiri.
Oleh itu tambahnya, kita yakin KKC adalah kaedah yang baik, kelemahan kita di dalam melaksanakannya perlu dihayati sebagai cabaran sementelah kelemahan ini disebabkan oleh pihak pengurusan sendiri.
Ini menurut Dato Paduka, adalah ibarat "harapkan pagar, pagar makan padi".
Berasaskan penemuan di dalam kajian penilaian kemajuan KKC ini jelasnya, satu kesimpulan yang nyata ialah kedudukan KKC di dalam Perkhidmatan Awam di negara ini adalah kritikal kerana permasalahan yang dihadapi di peringkat pengurusan ini, jika tidak diperbetulkan secepat mungkin, pembudayaan KKC yang diharap selama ini akan terbantut begitu saja.
"Jika betul pihak pengurusan tidak berminat, tidak komited dan tidak menghargai kepentingan KKC untuk membantu pengurusan itu sendiri, kedudukan ini akan menjadi 'disincentive' kepada anggota kerja pertengahan dan bawahan. Adaakah fenomena ini yang menyebabkan pada tahun ini hanya 6 kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya yang menyertai Konvensyen KKC Kebangsaan? Persoalan ini adalah serius untuk dibuat kajian susulan. Jika terbukti memang betul terdapat pihak pengurusan yang hambar dan tidak berminat, perincian permasalahan ini perlu dikenal pasti untuk ditangani oleh setiap pihak yang berkenaan," tegas Dato Paduka.
Seterusnya Dato Paduka menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam dan IPA perlu menyediakan sasaran-sasaran kebertanggungjawaban atau 'accountability' semua pihak pengurusan sejauh yang berkaitan untuk meningkatkan keterlibatan bagi memaju dan membudayakan KKC.
Dengan langkah seperti ini dan langkah-langkah lain yang bersesuaian katanya, kita akan dapat menentukan ekspektasi dan sasaran pencapaian yang dihajati, sementelah kemajuan pihak pengurusan.
Sungguhpun permasalahan ini tambahnya, kita bersyukur masih terdapat pihak pengurusan enam kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya berjaya menubuhkan 15 kumpulan KKC kesemuanya dengan projek-projek penyertaan masing-masing.
Usaha enam kementerian ini dan jabatan-jabatan di bawahnya perlu menerima pujian di atas kesungguhan mereka sehingga berjaya di dalam menyertai Konvensyen KKC Kebangsaan pada tahun ini.
Pada mengambil kira penyertaan enam kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya, Dato Paduka percaya penyertaan ini memberikan manfaat tertentu kepada peserta-peserta.
Selain dari mendapat latihan mengenai kaedah pengurusan KKC ini tambahnya, penerapan kaedah ini di dalam projek masing-masing memberikan pengalaman praktikal yang setentunya menjadi asas bagi penerapan seterusnya di masa mendatang.
Menurutnya, proses mempelajari kaedah KKC dan seterusnya membuat penerapan di dalam projek pembaikan perkhidmatan adalah merupakan asas bagi pembudayaan.
"Seperti juga di dalam penerapan kemahiran-kemahiran yang lain, semakin kerap kaedah KKC ini digunakan untuk tujuan-tujuan praktikal, semakin kuatlah asas untuk pembudayaannya," jelas Dato Paduka.
Sebab itu katanya, adalah biasa dan jelas kepada kita bahawa penerapan kaedah KKC ini tidak berhenti di akhir konvensyen ini.
Proses untuk membudayakan kaedah yang mudah dan praktikal ini jelasnya, perlu diteruskan selepas konvensyen di dalam menjalankan tugas-tugas seharian.
Dato Paduka kemudian menyatakan kumpulan-kumpulan KKC yang sama perlu berusaha untuk meneruskan penerapan dengan menggunakan pengalaman untuk menambah keberkesanannya dari semasa ke semasa selain perlu meningkatkan dari satu tahap kepada satu tahap yang lebih tinggi dan mencabar.
Di majlis tersebut tetamu kehormat juga telah menyampaikan anugerah-anugerah kepada kesemua 15 peserta kumpulan yang berjaya dianugerahkan perak di mana tidak ada kumpulan-kumpulan peserta KKC pada tahun ini yang berjaya meraih anugerah emas atau gangsa.
Dengan penglibatan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan di dalam KKC, dihasratkan akan dapat memberikan mereka keupayaan dalam menyelesaikan masalah di samping akan dapat menerapkan dan menyemai nilai-nilai dan etika kerja yang positif dalam sama-sama menyumbang kepada pembaikan organisasi dan Perkhidmatan Awam secara berterusan.
-- Hak milik Pelita Brunei
Monday, 1 November 2010
Penerimaan Dan Pembudayaan KKC Dalam Perkhidmatan Awam Masih Rendah
Posted by Neo Minda on 12:32
0 comments:
Post a Comment