Wednesday, 3 November 2010

Perbankan Islam Alami Pertumbuhan Mendadak

Twitter Facebook More

Oleh Rafidah Jumat

Bandar Seri Begawan (02/11/2010) - Perbankan Islam telah menyaksikan pertumbuhan mendadak dalam tahun kebelakangan dan pada dua tahun kebelakangan, bank komersil Islam telah tumbuh dengan pesatnya berbanding nilai konvensional.


Pada 2009, aset perbankan Islam telah meningkat dengan lebih 28 peratus dari AS$639 bilion pada 2008 kepada AS$822 bilion, kata Setiausaha Tetap (Monetari) Kementerian Kewangan, Haji Mohd Roselan Haji Mohd Daud ketika merasmikan bengkel SEACEN-IRTI/IDB mengenai pembangunan sistem perbankan Islam yang berdaya tahan hari ini.

Perbankan Islam pada hari ini mempunyai jejak global dan tidak lagi dalam lingkungan negara Islam di Asia dan Timur Tengah, malah ianya tidak terjejas oleh krisis kewangan global dan kemerosotan ekonomi yang berlaku baru-baru ini.

Bagaimanapun, jelasnya semua pemegang kepentingan bersama perbankan Islam dan kewangan tidak perlu berpuas hati, sebaliknya mereka sama ada pengamal industri atau pengatur perlu terus bekerja keras dan mengambil kesempatan bagi mempromosi pertumbuhan berdaya tahan industri.

"Krisis kewangan global telah mengajar kita banyak perkara penting dan salah satu darinya ialah dari krisis kecairan.

"Pengurusan kecairan yang lemah tidak dinafikan tersebar luas di seluruh global terutama dalam kemajuan ekonomi," katanya.

Mengenal pasti kelemahan rumit ini, ujarnya pembentuk standard antarabangsa bagi bank iaitu jawatankuasa Basel mencadangkan isu baru dan standard pengurusan kecairan global yang lebih berkesan bagi bank.

Tidak dinafikan, pembaharuan ini memberi impak serius bagi bank Islam dan boleh memburukkan risiko kecairan di kebanyakan pasaran kewangan Islam yang disebabkan oleh stok terhad sekuriti kerajaan berunsurkan Shariah yang akan memenuhi cadangan, definisi sempit aset kecairan.

Kepentingan infrastruktur pengurusan kecairan yang kukuh bagi institusi kewangan telah lama diendors dan pertumbuhan antarabangsa dan integrasi ke dalam landskap kewangan global pula memerlukan kemampuan untuk bertahan dari kejutan luar.

"Kita juga perlu peka akan ancaman bahawa tanpa keberkesanan pasaran antara bank dan juga tanpa sokongan dari bank pusat, pasukan pasaran akan mendesak bank Islam ke arah mereplikakan teknik konvensional perbankan yang membawa kepada perbezaan antara perbankan Islam dan konvensional," jelasnya.

Pasaran modal Islam yang lebih berkesan diwajibkan bagi perkembangan kewangan Islam yang berdaya tahan dan pasaran sukuk global dianggarkan S$130 bilion dengan kadar purata pertumbuhan kira-kira 40 peratus setiap tahun dan ini menggambarkan segmen yang jelas dalam kewangan Islam yang telah berkembang ke pasaran antarabangsa sekali gus, menghasilkan aliran selat seberang yang penting.

Bagaimanapun, katanya langkah berterusan perlu diambil untuk meluaskan lagi sukuk yang sedia ada dan mengembangkan Shariah berunsurkan pasaran bon tempatan, serantau dan antarabangsa.

Bengkel sehingga 5 November ini dikendalikan oleh lapan penceramah yang mempunyai pengetahuan yang meluas dalam bidang perbankan Islam dan disertai seramai 35 peserta dari negara ahli SEACEN termasuk Brunei dan negara bukan ahli SEACEN.

-- Hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment