Sunday, 14 November 2010

Program PPPS Dan 'SciMaths Trail' Dilaratkan Ke Daerah Tutong

Twitter Facebook More

Oleh : Aryentty Hj. Ariffin

Tutong (07 November 2010) - Bagi memberikan pendedahan kepada para pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran melalui pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di bilik darjah, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) dengan disokong oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd hari ini melaratkan Program Peningkatan Pencapaian Sains (PPPS) dan Matematik atau 'SciMaths Trail' ke Kawasan Tutong I di daerah ini.


Program 'SciMaths Trail' yang bertema "Go Green Through SciMaths" disertai oleh sebanyak 16 buah sekolah-sekolah rendah kawasan Tutong I yang juga bertujuan untuk menghargai keindahan dan menjaga alam sekitar.

Hadir selaku tetamu kehormat di program pagi tadi yang berlangsung di Taman Rekreasi Sungai Basong, di sini ialah Ketua Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Awang Irwandy bin Haji Lois.

Aktiviti ini memfokuskan kepada mata pelajaran Sains dan Matematik Tahun 4 hingga 6 di mana setiap sekolah menghantar enam orang pelajar yang terdiri dari dua orang pelajar setiap tahun yang akan menyatukan sejumlah 96 orang pelajar keseluruhan.

Melalui aktiviti seumpama ini murid-murid juga berpeluang untuk menggunakan kemahiran ICT.

Adalah diharapkan aktiviti ini akan dapat membantu mengembangkan pengetahuan dan pengalaman pelajar serta mempersiapkan diri mereka dalam Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21) di mana pelajaran sains dan matematik merupakan pelajaran teras yang memerlukan para pelajar mempunyai pengetahuan, kemahiran-kemahiran asas seperti kemahiran mengira, kemahiran Sains dan ICT dan juga penyerapan nilai-nilai teras dan sikap berdaya saing dan bekerjasama.

Aktiviti ini juga merupakan aktiviti sokongan bagi memenuhi kehendak SPN21 yang memberi peluang kepada para pelajar untuk menggunakan 'hands-on activity', mendorong para pelajar untuk menggunakan kemahiran sains dan matematik seperti menganalisa, menyukat, membuat rumusan dan sebagainya.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment