Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Bandar Seri Begawan (25 Oktober) - Pemangku Pesuruhjaya Polis, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pendikar Alam DCP Dato Paduka Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu mengingatkan semua warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) supaya akan dapat mempertingkatkan lagi mutu disiplin, mengamalkan sikap tidak pilih kasih serta tidak memperalatkan orang lain untuk kepentingan sendiri.
Yang Dimuliakan mengingatkan supaya mereka yang masih berkhidmat dengan pasukan supaya mulai sekarang tidak akan menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka sewenang-wenangnya demi kepentingan seseorang dengan melakukan rasuah, penyelewengan, penipuan dan mementingkan diri sendiri," tegas Yang Dimuliakan di Majlis Perbarisan Kursus Tamat Latihan Pelatih Rekrut Polis Lelaki dan Wanita Skuad 1 dan 2/2010 bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Polis Gadong, di sini.
"Perlu diingat bahawa kuasa dan tanggungjawab yang diberikan adalah satu amanah yang tidak boleh disalahgunakan. Perbuatan menyalahgunakan kuasa adalah suatu kesalahan yang sangat serius.
"Dalam perkara ini, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati cuba atau menyalahgunakan kuasa mereka," tegas Pemangku Pesuruhjaya Polis.
Menurut Yang Dimuliakan sebarang kelalaian dan pelanggaran ke atas undang-undang dalam menjalankan tugas diambil tindakan disiplin selaras dengan peruntukan-peruntukan di bawah Akta PDB Penggal 50.
"Ingatlah bahawa tiada tempat bagi mereka yang sedemikian di dalam pasukan ini," jelas Yang Dimuliakan.
Sehubungan dengan itu, Pemangku Pesuruhjaya Polis menaruh harapan tinggi agar anggotanya mulai dari sekarang bersikap jujur, peka, amanah, dan bersopan santun dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai seorang anggota polis.
Yang Dimuliakan menekankan, kita semua perlu sentiasa mengamalkan etika kerja yang profesional, berdaya saing dan bersedia kepada sebarang perubahan yang memerlukan anggota pasukan untuk mengambil tindakan relevan mengikut keperluan semasa.
Terdahulu sebelum itu, Yang Dimuliakan menjelaskan dunia kepolisan adalah dikira sebagai satu khidmat yang mulia di sisi agama kerana ia adalah dikira sebagai suatu amal ibadah yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala.
Yang Dimuliakan menambah kata, jika tanggungjawab itu dapat dibuat dengan jujur, amanah serta telus dengan niat yang lurus, insya-Allah, para rekrut akan menerima imbalan pahala dari Allah Subhanahu Wata'ala.
Untuk itu, Pemangku Pesuruhjaya Polis itu penuh berharap agar segala apa juga perkara yang telah diajarkan semasa mereka menjalani latihan asas dapat ditanamkan di dalam fikiran masing-masing dan digunakan sewajarnya demi memberikan perkhidmatan yang bersandarkan nilai-nilai adil saksama dan tidak pilih kasih kepada masyarakat.
"Ini termasuk mengamalkan sifat amanah dan menjauhi apa jua aktiviti-aktiviti yang boleh menjurus kepada kegiatan rasuah dan penyelewengan dan sentiasa menghayati dan mempraktikkan sikap 'Tangan Kiri Tidak Mengetahui Akan Tangan Kanan Yang Memberi'," tambah Yang Dimuliakan lagi.
Pemangku Pesuruhjaya Polis menyampaikan hadiah kepada Rekrut 5691 Awang Abdul Aziz bin Yussof Rekrut Lelaki Terbaik Dalam Semua Jurusan Skuad 2/2010 (atas) dan Rekrut 5726 Dayang Nurul Atiqah binti Haji Awang Abas, Rekrut Wanita Terbaik Dalam Kawad dan Latihan Luar Skuad 1/2010 (bawah).
(Foto : Ampuan Hj. Mahmud Ampuan Hj. Tengah)
Pada masa yang sama jelas beliau, kewujudan mereka dalam pasukan juga telah diselaraskan dengan peta strategi pasukan yang difokuskan kepada pengemaskinian syllabus latihan yang memberi penekanan kepada perkhidmatan yang profesional mengikut perkembangan semasa.
Dalam hubungan ini juga, tambah Yang Dimuliakan memupuk dan meningkatkan inisiatif kerjasama dan rangkaian atau 'partnership initiatives' dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dari luar adalah tidak kurang pentingnya khususnya Biro Mencegah Rasuah, Biro Kawalan Narkotik, Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Muzium-Muzium dan agensi-agensi keselamatan.
Secara realitinya, tambah Yang Dimuliakan, PDB sangat mementingkan kerjasama dan rangkaian kerja di kalangan agensi-agensi berkenaan dalam melaksanakan tugas-tugas kepolisan kerana ianya dinilai adalah sangat penting bagi mencapai apa juga perkhidmatan yang diberikan agar ia menjurus kepada perkhidmatan yang 'cemerlang dan profesional' kepada masyarakat.
"Perkara tersebut juga dinilai sebagai satu formula yang efektif dalam sama-sama menanai tugas dan tanggungjawab untuk membanteras jenayah dan memastikan kestabilan dan keselamatan negara yang kita cintai ini. Bak kata pepatah Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing," kata Yang Dimuliakan.
Seramai 43 rekrut lelaki terdiri dari 22 orang lelaki bagi skuad 1/2010 dan 21 orang wanita pengambilan skuad 2/2010 berjaya menamatkan kursus asas kepolisan mereka selama lebih kurang enam bulan hari ini.
Rekrut lelaki 5691 Awang Abdul Aziz bin Yussof terpilih sebagai Terbaik Dalam Semua Jurusan manakala Terbaik Dalam Undang-undang dan Pekerjaan Polis ialah Rekrut 5707 Awang Muhammad Zulhafiz bin Haji Rosli dan terpilih sebagai Terbaik Dalam Kawad dan Latihan Luar ialah Rekrut 5693 Awang Adib bin Ali Yusop.
Bagi rekrut wanita pula, Terbaik Dalam Semua Jurusan diraih oleh Rekrut 5720 Dayang Noorazyan binti Shakrizal sementara Rekrut 5713 Dayang Ainul Iwana binti Haji Daimun dipilih sebagai Terbaik Dalam Undang-undang dan Pekerjaan Polis, manakala Terbaik Dalam Kawad dan Latihan Luar diberikan kepada Rekrut 5726 Dayang Nurul Atiqah binti Haji Awang Abas.
Antara lain, matlamat utama latihan asas rekrut adalah untuk menyediakan dan melengkapkan pelatih dengan pengetahuan tentang ilmu asas kepolisan yang meliputi mata pelajaran-mata pelajaran Pengetahuan Kanun Keseksaan Jenayah, Kanun Peraturan Jenayah, Akta-akta dan Peraturan Am Pasukan Polis, Seni Mempertahankan Diri, Menembak dan Pengetahuan Am Dalam dan Luar Pasukan.
-- hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment