Monday, 25 October 2010

242 Pegawai Dan Kakitangan Kementerian Pendidikan Yang Bersara Diraikan

Twitter Facebook More

Oleh : Nooratini Hj. Abas

Bandar Seri Begawan (25 Oktober) - Seramai 242 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan termasuk pegawai-pegawai, tenaga pengajar kakitangan yang berkhidmat di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi serta teknikal dan vokasional yang bersara tahun lalu diraikan dalam satu majlis di Grand Ballroom, Hotel Plaza Kiulap.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika hadir di Majlis Meraikan Persaraan Bagi Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pendidikan. (Foto : Abdullah Hj. Awg. Damit)

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail, Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Pengarah-pengarah, Pegawai-pegawai Tugas Khas Kanan, Penolong-penolong Pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, Naib Canselor serta kakitangan yang diraikan.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al Faatihah yang dipimpin oleh Awang Faizal bin Janis@Rosli dari Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai dan mengenang jasa bakti pegawai dan kakitangan kementerian tersebut yang pernah bertugas dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu ianya juga untuk mengerat dan mengekalkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan di antara pegawai dan kakitangan yang masih berkhidmat dan yang telah bersara di Kementerian Pendidikan.

Salah seorang peserta yang telah bersara, Pengiran Haji Metassan bin Pengiran Haji Jumat, 56, ketika ditemui merasakan penghormatan dan bersyukur di atas penghargaan yang diberikan kepadanya dan para peserta pesara yang lain dan akan dikenang sampai bila-bila.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika menyampaikan sijil dan cenderahati kepada salah seorang pegawai Kementerian Pendidikan yang bersara. (Foto : Abdullah Hj. Awg. Damit)

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Penghapusan dan Kira-kira merangkap Bahagian Ketua Kenderaan di Kementerian Pendidikan.

Beliau yang memulakan perkhidmatan pada tahun 1976 sebagai guru di Sekolah Melayu Bebuloh menyatakan pembaharuan pendidikan negara dan peluang belajar dalam negara mahupun luar negara terbuka luas dengan tidak menyekat kepada pelajar-pelajar yang berminat untuk meneruskan pembelajaran mereka.

Selain itu beliau berharap agar generasi atau pelapis yang sedia ada pada masa ini akan mengikuti pelajaran-pelajaran mereka dengan sebaik-baiknya di sekolah untuk masa depan individu itu sendiri dan negara.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment