Tuesday, 26 October 2010

Kursus Asas Da'wah Tingkatkan Pengetahuan Tentang Islam

Twitter Facebook More

Oleh : Saerah Hj. Abd. Ghani

Bandar Seri Begawan (25 Oktober) - Dalam usaha memberikan informasi baru serta meningkatkan lagi ilmu da'wah di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan Bahagian II ke atas, III, IV dan V, Pusat Da'wah Islamiah (PDI) mengungkayahkan Kursus Pengukuhan Islam 'Kursus Asas Da'wah' selama lima hari bermula hari ini.


Pegawai Kanan dari Pusat Da'wah Islamiah, Awang Abd. Aziz bin Haji Abd. Kahar menyampaikan taklimat metodologi kepada masyarakat bukan Islam di salah satu sesi Kursus Pengukuhan Islam ‘Kursus Asas Da’wah’. (Foto : Ramli Tengah)

Taklimat mengenai kursus tersebut disampaikan oleh Ketua Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Da'wah, Dayangku Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut berlangsung di Dewan Persidangan, PDI.

Antara isi kandungan kursus yang merupakan Rancangan Tahunan Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Da'wah itu ialah Metodologi Da'wah Kepada Masyarakat Bukan Muslim, Pengalaman dan Cabaran PDI Dalam Menyampaikan Da'wah Kepada Masyarakat Bukan Islam di Negara Brunei Darussalam, Mengenali Agama Kristian dan Sejarah Perkembangannya, Kepercayaan Masyarakat Dusun dan Kepercayaan Masyarakat Cina.

Selain itu, juga didedahkan kepada para peserta ialah mengenai Kepercayaan Masyarakat Iban, Pengenalan Khinzir, Arak, Judi dan Zina, Membentuk Keluarga Sakinah, Taklimat Garis panduan Berdakwah, Berdakwah Ke Rumah Panjang dan Mempelajari Islam dan Kehidupan Dunia serta Kebahagian Akhirat.

Sebahagian dari peserta yang menghadiri Kursus Pengukuhan Islam ‘Kursus Asas Da’wah’ bagi pegawai dan kakitangan kerajaan Bahagian II ke atas, III, IV, V. (Foto : Ramli Tengah)

Kursus tersebut dibimbing oleh pegawai-pegawai PDI, Awang Haji Mail bin Besar, Awang Abd. Aziz bin Haji Abd. Kahar, Awang Haji Anwari bin Haji Rawee, Awang Haji Amin bin Haji Md. Yassin, Awang Haji Zainal bin Haji Awang Besar, Awang Haji Kamal Leang bin Abdullah, Awang Haji Md. Noor Ariffin bin Abdullah, Dayang Hajah Siti Rahmah binti Haji Juhaili dan Dayang Hajah Hanisah binti Abdullah.

Dengan adanya kursus tersebut diharap akan dapat memberikan pengetahuan dan meningkatkan lagi kefahaman yang sedia ada supaya ia dapat dilaksanakan dalam kehidupan selain menghayati ajaran Islam dengan penuh keyakinan serta ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment