Mexico (26/10/2010) - Konvensyen Sukan Olimpik Sedunia dihasratkan dapat merapatkan jurang perbezaan pendapat dan presipsi mengenai peranan serta tanggungjawab kerajaan dan Badan Olimpik Kebangsaan serta Badan-badan Sukan Antarabangsa dalam pembangunan sukan olimpik dengan semangat persahabatan, perpaduan dan keamanan.
Perkara tersebut ditekankan dalam resolusi Konvensyen Sukan Olimpik Sedunia Kali Pertama yang berlangsung sempena Mesyuarat Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Perhimpunan Umum Persatuan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (ANOC) yang diadakan di Acapulco, Mexico pada 23 Oktober 2010 lepas.
Rombongan Negara Brunei Darussalam ke konvensyen itu yang diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah disertai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Haji Awang Mohd. Hamid bin Haji Mohd. Jaafar.
Konvensyen bertemakan Perpaduan dan Kerjasama Baik Antara Pihak Berkuasa Awam dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Dalam Pergerakan Sukan (Unity and better co-operation between public authority and National Olympic Committees (NOCs) in the sports movement) itu dibuka rasmi oleh Yang Berhormat Mr. Marcedo Ebrad, Datuk Bandar Mexico dan dipengerusikan oleh Mr. Mario Vazquez Rana, President ANOC.
Konvensyen ini juga dihadiri oleh Menteri-menteri Sukan serta perwakilan dari 94 buah negara dan kira-kira 200 perwakilan NOCs.
Turut hadir ialah Dr. Jacques Rogge, Presiden IOC dan beberapa perwakilan dari Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Olympic Solidarity dan World Anti-Doping Association (WADA).
Konvensyen tersebut juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Mexico sebagai tuan rumah dan kepada Presiden ANOC di atas inisiatifnya mengumpulkan Menteri-menteri Sukan dan Presiden-presiden NOCs dari lima buah benua ke konvesyen yang julung kalinya diadakan ini.
Semasa perbincangan, semua pihak sependapat bahawa kerjasama di antara pihak kerajaan dengan pihak NOCs sewajarnya bersandarkan sikap saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.
Pihak NOCs juga menekankan betapa pentingnya prinsip tidak campur tangan dari pihak kerajaan, bagaimanapun menyedari bahawa mereka perlu bertindak dengan penuh rasa bertanggungjawab dan beretika tinggi.
Sementara itu Menteri-menteri Sukan bagi pihak kerajaan terus menekankan bahawa pihak NOCs tidak boleh lari atau melanggar undang-undang sesebuah negara di bawah dasar tidak campur tangan kerajaan.
Konvensyen ini juga membincangkan beberapa isu dalam pembangunan sukan di peringkat global seperti 'doping dalam sukan', 'pendidikan olimpik bagi masyarakat sihat', 'sukan dalam memelihara alam sekitar' dan 'pembangunan sukan bagi wanita'.
Di akhir perbincangan, Menteri-menteri Sukan dan Presiden-presiden NOCs bersetuju kepada resolusi yang menekankan perlunya tindakan berterusan ke arah merapatkan persefahaman dan keharmonian di antara kedua belah pihak dalam usaha membangun masyarakat yang sihat dan aktif melalui program-program sukan untuk masyarakat dan sukan untuk kecemerlangan ke arah kepentingan generasi akan datang khususnya golongan belia.
Selain dari itu konvensyen itu juga mengakui sumbangan positif dan pelaburan tinggi pihak kerajaan dalam menyediakan kemudahan sukan dan memperkembangkan sukan melalui sistem pendidikan adalah merupakan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pewujudan masyarakat cemerlang.
Konvensyen juga melahirkan penghargaan terhadap peranan pihak NOC dalam menerajui pembangunan sukan berasaskan semangat olimpik.
Kedua belah pihak juga diseru agar dapat terus berkomunikasi dan bekerjasama secara telus (transparent) di dalam merancang dan melaksanakan program-program sukan.
Menteri-menteri Sukan dan Presiden-presiden NOCs seterusnya menekankan perlunya usaha bagi meningkatkan kesedaran terutamanya di kalangan atlet di dalam menangani isu 'doping' dalam sukan, menyokong penuh usaha ke arah meningkatkan penglibatan kaum wanita di dalam sukan, dan mengambil usaha padu melindungi alam sekitar dalam penganjuran sukan.
Para Menteri Sukan dan Presiden-presiden NOCs juga berharap agar Resolusi Konvensyen Sukan Olimpik Sedunia Kali Pertama ini akan terus dibincangkan di Konvensyen Sukan Olimpik Sedunia Kali Kedua yang dijangka akan diadakan di London pada tahun 2012 bersempena Sukan Olimpik London 2012.
-- hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment