Friday, 12 November 2010

BKN Perlu Tingkatkan Pengetahuan Dan Pengalaman Pembanterasan Pengedaran, Penyeludupan Dadah

Twitter Facebook More

Oleh : Rohani Hj. Abd. Hamid

Bandar Seri Begawan (03 Nov 2010) - Biro Kawalan Narkotik (BKN) Negara Brunei Darusalam perlu meningkatkan hubungan kerja di segi pertukaran maklumat risikan, perkongsian pengetahuan dan pengalaman yang berkaitan dengan pembanterasan pengedaran dan penyeludupan dadah.


Timbalan Pengarah BKN, Awang Haji Jasmin bin Haji Jamudin ketika berucap demikian di Mesyuarat Kumpulan Kerja Ke-14 di antara BKN dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Hotel Antarbangsa Rizqun, Gadong di sini menyatakan, kerjasama lain termasuklah dari segi kapasiti building, lawatan kerja, dan lain-lain lagi terutama sekali dalam hal-hal berkaitan dengan pembanterasan makmal proses dadah, menumpaskan sindiket dadah antarabangsa dan penyiasatan yang berhubung kait dengan rampasan wang dan aset-aset hasil dari kegiatan dadah.

"Dalam kesempatan ini juga, saya berpendapat BKN perlu juga memperkuatkan dan mempertingkatkan lagi kerjasama dalam bidang maklumat risikan terutama sekali negeri yang bersempadan dengan Negara Brunei Darussalam iaitu, JSJN, Sabah dan JSJN, Sarawak. Ini kerana dadah-dadah yang ada di pasaran Brunei diseludup masuk dari daerah jiran yang bersempadanan dengan Negara Brunei Darussalam," terangnya.

Beliau seterusnya mengambil kesempatan memohon kepada pihak JSJN PDRM untuk berkongsi pengalaman berhubung dengan kejayaan JSJN membanteras makmal pemprosesan dadah dan mematahkan sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan mungkin sebagai 'transit point'.

Terdahulu dalam ucapan tersebut beliau menjelaskan Brunei menghadapi dua senario kegiatan dadah iaitu pertama penyeludupan pengedaran dadah ke Negara Brunei Darussalam, kedua bertambahnya bilangan penyalahgunaan dadah.

Pada tahun ini katanya, terdapat dua kes yang signifikan di mana warganegara Brunei cuba menyeludup masuk dadah jenis ganja di negara Thailand yang kesemuanya hampir 3 kilogram.

Penggunaan dadah jenis ganja jelasnya, merupakan dadah pilihan dann trend pada masa kini.

Menurutnya pada tahun 2009 seramai 522 orang ditangkap atas kesalahan memakan dadah dan memiliki dadah. Jenis dadah yang disalahgunakan selain dari ganja ialah syabu.

Pada tahun 2010 setakat bulan Ogos tambahnya, BKN telah menangkap seramai 373 orang dalam pelbagai kesalahan.

Menyentuh mengenai warganegara Brunei Darussalam yang terlibat dengan sindiket dadah antarabangsa, beliau menjelaskan seramai lima orang terlibat dengan sindiket tersebut iaitu tiga perempuan dan dua lelaki yang masing-masing dua orang ditangkap di Australia, dua orang di China dan seorang di Chile.

"Berdasarkan kepada senario tadi, BKN telah meningkatkan usaha dalam menangani ancaman jenayah dadah. Oleh itu, pendekatan serta kaedah yang berkesan ialah dengan meningkatkan hubungan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam dan luar negeri," jelasnya.

Melalui kesempatan itu, beliau menjelaskan bahawa BKN ingin terus menjalani hubungan kerjasama dengan JSJN, PDRM dalam pelbagai bidang dalam hal pembanterasan pengedaran dan penyeludupan dadah.

Seramai 13 orang dari BKN Negara Brunei Darussalam dan seramai enam orang yang diketuai oleh DCP Dato Othman bin Harun dari JSJN PDRM menghadiri Mesyuarat Dua Hala Ke-15 dan Mesyuarat Kumpulan Kerja Ke-14 di antara BKN dan JSJN Malaysia selama empat hari.

BKN menjadi tuan rumah bagi kedua-dua mesyuarat yang diadakan secara bergilir-gilir setiap tahun. Antara tujuan mesyuarat dua hala di antara BKN dan JSJN, PDRM diadakan adalah untuk mengukuhkan dan mempertingkatkan lagi kerjasama dua hala di antara kedua-dua agensi antidadah dan seterusnya bertukar-tukar maklumat tentang trend-trend dadah di antara kedua buah negara.

Kebanyakan negara di rantau ini menempuhi cabaran global seperti sindiket dadah antarabangsa terutama sekali melibatkan warga Afrika dan Iran, trend dan modus operandi pengedaran dan penyeludupan dadah yang sentiasa berubah-ubah dan sulit, pengalihan dan salah guna bahan-bahan kimia prekursor serta peroperasian makmal-makmal haram yang mencipta dan menghasilkan dadah baru.

Mesyuarat antara lainnya meneliti dan mengesahkan Minit Mesyuarat Kumpulan Kerja Ke-13 dan perkara-perkara yang berbangkit dari mesyuarat yang lalu dan juga Laporan Situasi Dadah BKN dan Laporan Situasi Dadah Negeri Sarawak.

Dengan adanya perhubungan yang lebih erat ini diharap akan dapat mencapai misi utama bagi memantapkan lagi usaha pembanterasan penyeludupan dan pengedaran dadah melalui kerjasama dan bantuan berterusan di antara kedua-dua agensi demi mencapai hala tuju yang sama sejajar dengan visi "ASEAN Bebas Dadah 2015".

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment