Oleh : Rohani Hj. Abd. Hamid
Bandar Seri Begawan (03 Nov 2010) - Dekan Hal Ehwal Pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dayang Hajah Norwati binti Haji Abu Bakar menekankan bahawa bahasa Inggeris merupakan salah satu bahasa yang diguna pakai di dalam interaksi seharian pada masa ini dan ia juga merupakan salah satu kursus yang mesti diambil oleh pelajar-pelajar program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama.
"Kebolehan berkomunikasi dan membaca dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris adalah sangat penting kerana ianya akan dapat membantu mahasiswa/mahasiswi dalam menimba dan menambah ilmu dari berbagai sumber di samping dapat meningkatkan daya saing mahasiswa/mahasiswi di persada global," jelasnya di Pertandingan Spell it Right Peringkat Akhir dan Kesyukuran Sempena Kejayaan KUPU SB Dalam Pertandingan Tausyeh dan Tilawah Al-Qur'an anjuran bersama Pusat Bahasa dan Hal Ehwal Pelajar yang telah berlangsung di Dewan KUPU SB Jalan Tutong.
Menurut beliau, sebagai salah satu cara untuk meningkatkan kemahiran mahasiswa dan mahasiswi dalam bahasa Inggeris di kolej universiti berkenaan, Pusat Bahasa melalui Kelab Bahasa Inggeris telah mengorak langkah dengan menganjurkan pertandingan Spell It Right yang julung-julung kalinya diadakan di KUPU SB.
Mahasiswa dan mahasiswi, tambahnya perlu mengoptimumkan peluang yang ada pada Kelab Bahasa Inggeris ini khususnya dan pada kelab-kelab lain umumnya untuk melibatkan diri secara aktif dalam semua aktiviti yang dijalankan.
"Penglibatan secara aktif dalam aktiviti ko-kurikulum adalah sangat penting kerana merupakan salah satu kriteria dalam pemilihan bagi anugerah cemerlang di KUPU SB ini. Di samping itu ianya adalah salah satu cara untuk para pelajar mengembangkan potensi dari aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani."
Ra'es KUPU SB, Dr. Hajah Masnon binti Haji Ibrahim hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya berkesudian menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Di antara objektif pertandingan ialah untuk mencungkil potensi bakat baru di kalangan mahasiswa/mahasiswi di peringkat KUPU SB untuk mengeratkan minda para mahasiswa dan mahasiswi supaya lebih komited dan berkeyakinan tinggi dalam meningkatkan prestasi pembelajaran bahasa Inggeris dan untuk mengeratkan tali silaturahim di kalangan peserta pertandingan.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Qur'an oleh Awangku Md. Amirul Aiman Pengiran Haji Marjuki dan Dayang Siti Rubiah binti Haji Timbang.
-- hak milik Pelita Brunei
Friday, 12 November 2010
Kebolehan Berkomunikasi Dalam Bahasa Inggeris Sangat Penting
Posted by Neo Minda on 13:42


0 comments:
Post a Comment