Thursday, 18 November 2010

Kebawah DYMM Berangkat Tiba Di Tokyo APEC Tumpukan Integrasi Ekonomi Asia Pasifik

Twitter Facebook More

Tokyo, Jepun (13 November 2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selamat berangkat tiba di Tokyo, Jepun bagi menghadiri Sidang Kemuncak Ketua-ketua Ekonomi Kerjasama Asia Pasifik (APEC) Ke-18.


Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo dijunjung oleh Duta Besar Protokol, Kementerian Luar Negeri Jepun, Tuan Yang Terutama Minoru Shibuya.

Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo bagi mengalu-alukan keberangkatan tiba baginda ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Jepun, Tuan Yang Terutama Awang Mohammad Alias bin Serbini dan pegawai-pegawai kanan yang lain.

Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) Ke-18 akan diadakan pada 13 hingga 14 November 2010 bertempat di Hotel InterContinental Yokohama Grand dan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Jepun, TYT Naota Kan.

Pada mesyuarat ini, Ketua-ketua Ekonomi APEC dijangka menumpukan perbincangan kepada kemakmuran berdaya tahan serta integrasi ekonomi di rantau Asia Pasifik dan masa depan APEC.

Mesyuarat AELM di negara matahari terbit bertemakan "Tindakan dan Perubahan" akan dimulakan dengan Sesi Retreat Pertama disusuli dengan Sesi Dialog bersama Ahli-ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

Kebawah DYMM bersama ketua-ketua negara ekonomi APEC juga dijadualkan menghadiri Sesi Retreat Kedua sebelum berangkat bersama pemimpin APEC yang lain bagi acara 'Leader Declaration' pada hari berikutnya.

Sepanjang berada di sini, para pemimpin ekonomi APEC juga akan diraikan dengan majlis-majlis 'Welcome Working Lunch' dan Majlis Makan Malam Rasmi di samping acara-acara kebudayaan.

APEC dianggotai oleh 21 negara Lingkaran Pasifik (Pacific Rim) yang mewakili kira-kira 2.5 bilion penduduk dengan mempunyai pasaran dunia merekodkan kira-kira 70 peratus (tahun 2007) daripada pertumbuhan tahunan global.

Isu-isu ekonomi dan strategik, termasuk ekonomi global, meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan memperkukuhkan sistem perdagangan berbagai hala juga akan menarik perhatian para pemimpin ekonomi APEC.

Pertemuan AELM kali ini dilihat sangat penting memandangkan tahun 2010 merupakan tahun sasaran untuk industri APEC mencapai Matalamat Bogor sebagai pencapaian utama sekali gus bakal mengungkap arah baru untuk mewujudkan penjana bagi ekonomi global, di tengah krisis kewangan. -- hak milik Pelita Brunei


(Laporan : Samle Hj. Jait dari Tokyo, Jepun)

0 comments:

Post a Comment