Oleh : Abu Bakar Hj. Abdul Rahman
Bandar Seri Begawan (31/10/2010) - Kecemerlangan dan keberkesanan kepimpinan tidak hanya terpancar dari kepetahan seorang pemimpin berbicara atau melontarkan idea dan menabur janji.
Sesiapa sahaja mampu bercakap atau beretorik panjang namun belum tentu individu tersebut tahan diuji dengan cabaran di pentas realiti.
Dalam keadaan ini semangat keikhlasan dan kesukarelaan atau 'volunteerism' perlu disemai dalam jiwa setiap pemimpin kerana ia menuntun seseorang pemimpin itu ke arah kejayaan sebenar.
Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Serbini menyatakan perkara tersebut di Majlis Pembubaran Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi Pengajian 2009/2010 dan Pelantikan Ahli MPP Sesi Pengajian 2010/2011 UNISSA yang diadakan di Dewan Jubli universiti berkenaan.
Katanya, semangat kesukarelaan sebenarnya membawa konotasi yang amat luas malah ia lebih dari sekadar turun sekali-sekala ke kampung untuk membersihkan perkuburan atau memasak bersama masyarakat setempat atau lebih daripada aktiviti khidmat masyarakat.
"Ia merupakan satu agenda penting yang perlu dijuarai oleh MPP dengan strategik, terarah dan berkesinambungan. Ia juga menuntut sedikit pengorbanan awda untuk menjadi individu yang tidak terlalu 'berkira' atau bakhil dalam semua hal termasuklah yang menuntut perhatian awda sebagai pemimpin," ujar Rektor UNNISA.
Menurut Dr. Haji Serbini, apa sahaja yang bakal digagaskan selepas ini sebagai agenda dan program hendaklah tidak mengabaikan prinsip dan etika Islam.
Dalam hubungan ini beliau mengingatkan para mahasiswa dan mahasiswi yang terpilih bahawa pemilihan dan pelantikan sebagai ahli MPP adalah berdasarkan kepada kepercayaan dan akauntabiliti.
Justeru itu sebagai MPP jelasnya, di atas bahu mereka tertanggung satu amanah berat untuk membawa pelbagai isu dan agenda kesiswaan secara profesional dan penuh diplomasi dengan watak yang waras, rasional dan matang dan sekali-kali tidak dicemari dengan tingkah laku bersifat konfrontasi, sentimen, prejudis dan emosi yang menjejaskan wibawa dan kesarjanaan seorang pemimpin siswa.
Ke arah itu beliau menyarankan supaya setiap ahli perwakilan perlu memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing yang antaranya melaksanakan dasar-dasar Persatuan Pelajar UNISSA (PP UNISSA) mengendali aktiviti-aktiviti persatuan dan menyampaikan masalah-masalah pelajar kepada pihak-pihak yang berkenaan di universiti yang bersangkut paut dengan kebajikan dan kesejahteraan pelajar di universiti tersbut.
Beliau mengingatkan bahawa universiti, MPP, pelajar, dan warga UNNISA secara keseluruhan adalah ejen perubahan dan kepada mereka terletak tanggungjawab untuk membentuk dan mencorakkan masyarakat Brunei yang sejahtera dan progresif berteraskan ajaran-ajaran Islam yang tulen.
Terdahulu, Dr. Haji Serbini mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada ahli-ahli MPP Sesi Pengajian 2009/2010 kerana telah berjaya melakasanakan tugas dan tangungjawab yang berat selama sepenggal pentadbiran mereka.
-- Hak milik Pelita Brunei
Monday, 1 November 2010
Keikhlasan, Kesukarelaan Perlu Disemai Dalam Jiwa Pemimpin
Posted by Neo Minda on 12:27


0 comments:
Post a Comment