Monday, 1 November 2010

Kursus Pengukuhan Islam Meningkatkan Ilmu Dakwah

Twitter Facebook More

Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Bandar Seri Begawan (31/10/2010) - Seramai 67 pegawai kerajaan Bahagian II ke atas, III, IV dan V terdiri dari 35 lelaki dan 32 perempuan yang menamatkan Kursus Pengukuhan Islam (Kursus Asas Da'wah) petang tadi menerima sijil pada Majlis Penutup Kursus berkenaan di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut, Ketua Bahagian Penyebaran Da'wah, PDI, Dayang Hajah Fatimah binti Haji Ahmad.

Di majlis itu tetamu kehormat juga menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta dan cenderahati kepada tenaga-tenaga pengajar sepanjang kursus tersebut.

Kursus lima hari yang dikendalikan oleh Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Da'wah, PDI itu merupakan rancangan tahunan unit berkenaan.

Antara lain Kursus Asas Da'wah itu bertujuan memberikan informasi baru selain meningkatkan lagi ilmu dakwah di kalangan para peserta.

Manakala isi kandungan kursus pula meliputi maklumat mengenai metodologi dakwah kepada yang bukan beragama Islam, pengalaman dan cabaran PDI dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat yang bukan Islam di Negara Brunei Darussalam, mengenali agama Kristian dan sejarah perkembangannya serta kepercayaan masyarakat Dusun, Cina dan Iban.

Di samping itu para peserta juga didedahkan dengan maklumat mengenai pengenalan khinzir, arak, judi dan zina, cara-cara membentuk keluarga sakinah, taklimat garis panduan berdakwah termasuk berdakwah ke rumah panjang dan mengenai agama Islam.

-- Hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment