Thursday 18 November 2010

Memastikan Institusi Perubatan Diiktiraf Setara Di Peringkat Antarabangsa

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (13 November 2010) - Untuk mencapai objektif dalam menyediakan keperluan penjagaan kesihatan yang terbaik, kita mesti berusaha untuk memastikan bahawa institusi-institusi perubatan kita diiktiraf setara dengan rakan-rakan terbaik di peringkat antarabangsa.


Dalam hubungan ini, kita tidak seharusnya khuatir dalam mempelajari dan bekerjasama dengan pusat-pusat yang terbaik untuk mencapai objektif-objektif tersebut.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah bersabda merasmikan Persidangan Saintifik Neurologi Antarabangsa Pertama berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, di sini.

Menurut sabda YTM, kebanyakan kematian dan kecacatan kekal di dunia adalah disebabkan penyakit-penyakit neurologikal seperti strok dan Brunei Darussalam tidak terkecuali dalam perkara ini.

"Kita semua menyedari, bahawa dengan peningkatan usia penduduk, serangan strok akan meningkat," sabda YTM.

Mengenai Persidangan Saintifik Neurologi Antarabangsa Pertama itu YTM bersabda, ia bukan sahaja mercu tanda dalam pencapaian akademik, tetapi lebih penting lagi merupakan peluang untuk mempertemukan institusi-institusi perubatan utama iaitu UBD dan Pusat Perubatan Jerudong Park dengan Hospital Krankenhaus Nordwest, Jerman.

Sememangnya sabda YTM, hari ini peluang penting bagi Brunei untuk terus meningkatkan dan membina pakar-pakar tempatan.

YTM percaya, tidak ada ruang selesa dalam usaha untuk mengembangkan dan mempertaruhkan dalam melatih pengamal-pengamal perubatan dan para profesional kesihatan dalam berbagai kepakaran bagi memenuhi keperluan negara dan rakyat.

"Saya dengan itu menyeru petugas-petugas klinik dan lain-lain profesional kesihatan termasuk para akademik untuk bekerjasama dalam memastikan bahawa para doktor kita dan lain-lain pakar akan dapat mencapai kaliber yang setinggi mungkin," tegas YTM.

Semasa bersabda, YTM juga menekankan, bahawa kemajuan dalam penyelidikan sains dan perubatan telah menyumbang kepada kualiti kehidupan manusia dan seterusnya meningkatkan jangka hayat manusia sejak berkurun lamanya.

Seperti juga kebanyakan penduduk dunia sabda YTM, rakyat Brunei juga mendapat manfaat dari kemajuan dan hasil kerja para saintis dan penyelidik dari seluruh dunia.

Sabda YTM, sudah tiba masanya untuk kita melihat ke hadapan status kesihatan di negara ini dengan meneroka jalur kesihatan dan penyakit serta faktor-faktor yang berkaitan penduduk dengan mengambil kira aspek-aspek khusus mengenai demografi, masyarakat, genetik, persekitaran dan pengaruh-pengaruh budaya.

Dalam hal ini tegas YTM, kita akan meletakkan asas kerja untuk generasi penyelidik dan saintis akan datang dan berharap pemusatan kerjasama akan dapat dikembangkan dan diperkukuhkan.

Mesyuarat yang mempertemukan pakar-pakar kesihatan dari berlainan disiplin dan bidang itu sabda YTM, semuanya bersatu dengan satu tujuan untuk menjadikan kehidupan semua manusia lebih baik melalui kemajuan di bidang neurologi.

YTM juga berharap para peserta akan dapat mempergunakan peluang tersebut untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran di samping memperkukuhkan pendekatan ke arah kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Lebih kurang 200 peserta terdiri dari doktor, jururawat, pensyarah dan mahasiswa dari Institut Sains Kesihatan (HIS), UBD menghadiri persidangan tersebut. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Khartini Hamir)

0 comments:

Post a Comment