Jerudong (13 November 2010) - Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN petang tadi menandatangani Perjanjian Berbagai Hala ASEAN Mengenai Liberalisasi Penuh Penumpang Perkhidmatan Udara dan Protokol 1 dan 2 (MAFLPAS), di Grand Hall, Empire Hotel and Country Club, di sini.
Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah.
Majlis Penandatanganan Perjanjian tersebut diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN Ke-16 berlangsung di Grand Hall, Empire Hotel and Country Club, di sini.
Para menteri memperakui bahawa mesyuarat tersebut mencapai satu penyelesaian yang positif dan memberangsangkan.
Dalam sektor penerbangan, menteri-menteri ASEAN merumuskan mengenai pelonggaran penuh perkhidmatan udara bagi negara-negara ahli untuk menyediakan perkhidmatan udara dari mana-mana bandar raya.
Para menteri juga bersetuju mengembangkan skop Memorandum Persefahaman mengenai Perjanjian Perkhidmatan-perkhidmatan Udara ASEAN dengan Rakan-rakan Dialog.
Manakala dalam sektor maritim, penandatanganan MOU mengenai Mekanisma Konsultasi Laut ASEAN-China yang ditandatangani oleh pihak-pihak berkuasa maritim dari negara-negara anggota ASEAN meliputi bidang kawalan pelabuhan, perlindungan alam sekitar marin dari pencemaran, keselamatan pengangkutan maritim, bantuan navigasi, perkongsian pengalaman serta pembangunan keupayaan.
Perjanjian dan MOU tersebut bertujuan merealisasikan matlamat strategik bagi kerjasama pengangkutan di darat, udara dan maritim serta kemudahan pengangkutan ASEAN. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim)
Thursday, 18 November 2010
Perjanjian Udara Berbagai Hala ASEAN Ditandatangani
Posted by Neo Minda on 12:56
0 comments:
Post a Comment