Oleh : Rohani Hj. Abd. Hamid & Aimi Sani
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan mengurniakan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada sebahagian penerima terdiri dari anggota pasukan beruniform. (Foto : Abdul Kadir Md. Tahir)
Bandar Seri Begawan (26 Oktober) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada 837 orang terdiri dari pegawai dan kakitangan kerajaan sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-64.
Berangkat mengurniakan pingat-pingat tersebut bagi pihak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Istiadat Pengurniaan Pingat-pingat itu berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, di sini.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan pingat-pingat kehormatan kepada sebahagian lagi penerima yang terpilih. (Foto : Abdul Kadir Md. Tahir)
Mendahului pengurniaan pingat-pingat itu ialah pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada 94 penerima diikuti pengurniaan Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B) kepada 441 penerima terdiri dari pegawai dan kakitangan kerajaan dari berbagai kementerian dan jabatan.
Kemudian DYTM berkenan pula mengurniakan Pingat Kerja Lama (P.K.L) kepada 302 penerima yang juga terdiri dari pegawai dan kakitangan kerajaan.
Sebahagian dari Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria dan Pengiran-pengiran Peranakan yang turut berangkat dan hadir di Istiadat Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan yang berlangsung di Istana Nurul Iman. (Foto : Abdul Kadir Md. Tahir)
Bagi memberkati Istiadat Pengurniaan Pingat itu, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Berangkat dan hadir di Istiadat Pengurniaan Pingat itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Pengiran-pengiran Peranakan, Menteri-menteri Kabinet, Timbalan Menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Diplomat-diplomat Asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
-- hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment